Program Psiko-Spiritual Mualaf perkasa kesejahteraan holistik golongan mualaf
Gambar Dr. Syahrul Faizaz Abdullah
SUNGAI PETANI, 14 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dengan kerjasama Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA) telah menganjurkan Program Journey to Inner Peace: Modul Psiko-Spiritual Mualaf di Sungai Petani.
Program ini melibatkan seramai 30 peserta daripada kalangan mualaf termasuk peserta daripada komuniti Orang Asli yang mengikuti Kursus Intensif Bimbingan Islam selama empat bulan di PUSBA di bawah bimbingan enam fasilitator dari SLCP dan tiga fasilitator dari PUSBA.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada aktiviti penyelidikan geran universiti yang diketuai oleh Dr. Syahrul Faizaz Abdullah bersama rakan penyelidik, Dr. Suhanim Abdullah daripada SLCP serta Wan Hariz Hazimin Abdul Rahman daripada PUSBA.
Program ini dirangka oleh Jawatankuasa Penyelidikan, Perundingan dan Seminar SLCP dengan matlamat memperkasakan kesejahteraan holistik golongan mualaf melalui gabungan pendekatan psikologi, sokongan emosi dan amalan kerohanian Islam.
Dr. Syahrul Faizaz berkata, proses penyesuaian diri sebagai mualaf sering melibatkan cabaran dari aspek emosi, sosial dan psikospiritual.

“Justeru, modul ini dibangunkan bagi membantu peserta mengenal emosi diri, membina ketenangan dalaman, memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT serta meningkatkan sokongan sosial dalam komuniti pembelajaran mereka.
“Program ini bukan sahaja memberi sokongan psikospiritual kepada mualaf, malah menjadi ruang untuk peserta membina keyakinan diri, mengurus emosi dengan lebih baik dan merasai bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan sebagai Muslim. Kami berharap modul ini dapat menjadi asas kepada usaha berterusan dalam memperkasakan kesejahteraan mualaf,” katanya.
Sementara itu, wakil PUSBA, Wan Hariz Hazimin, Pembantu Hal Ehwal Islam turut merakamkan penghargaan atas penganjuran program tersebut.

“PUSBA amat berterima kasih kepada pihak SLCP dan UUM atas usaha murni ini. Program sebegini sangat bermanfaat dalam membantu mualaf menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai Muslim, di samping memberi sokongan dari aspek emosi, rohani dan sosial.
“Semoga kerjasama strategik ini terus diperkukuh demi kesejahteraan mualaf dan pembangunan ummah,” katanya.
Penganjuran ini sekali lagi memperlihatkan komitmen UUM dalam memperkukuh peranan akademik dan sosial, bukan sahaja sebagai pusat ilmu tetapi juga sebagai institusi yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat. – Zeety Kartini Abdul Hamid



