IBS UUM lonjak kolaborasi industri menerusi STIA 2026
Gambar Dr. Tubagus Thesna Irijianto
KUALA LUMPUR, 17 Mei 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Dana Sosial Takaful (STF) UUM telah menganjurkan Dialog Sinergi Strategik Industri-IBS: Stronger Together Industry – Academia (STIA) bertempat di Bangunan Menara Takaful Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program ini bertujuan memperkukuhkan hubungan antara IBS UUM dan industri khususnya dalam bidang kewangan Islam.
Dialog ini disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Takaful Association (MTA), Mohd Radzuan dan Ketua Pegawai Eksekutif, MyPusaka Sdn Bhd, Kamarul Azman serta pengurusan tertinggi Hong Leong Islamic Bank (HLIB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB), Al-ISRA Group (AIG) dan SZO Advisory Services.
Penolong Naib Canselor UUM COB yang juga Dekan IBS, Prof. Dr Selamah Maamor berkata, penganjuran dialog ini mencerminkan komitmen IBS dan UUM dalam memperluaskan jaringan kolaborasi industri-akademia selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkasa penyelidikan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.

Menurutnya, melalui STIA, kedua-dua pihak dapat berkongsi pandangan, pengalaman industri serta mengenal pasti ruang sinergi dalam pelbagai bidang.
Program ini turut membuka ruang perbincangan mengenai pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), latihan industri, konsultansi profesional dan pembangunan produk kewangan Islam yang lebih inklusif.
Pendekatan kolaboratif ini diyakini mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada institusi dan industri, malah kepada komuniti serta golongan sasaran yang memerlukan. – Dr. Mohamad Yazid Isa



