Education

Inovasi Psiko-Pendidikan Art Therapy kukuh jaringan industri, komuniti dan pengkomersialan bersama SOE dan ICC

Berita dan gambar Dr. Azizah Abdullah

SINTOK, 17 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda pemerkasaan pendidikan kerjaya, TVET dan inovasi sosial menerusi satu sesi perbincangan strategik secara dalam talian yang melibatkan Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UUM, wakil akademik serta rakan industri bagi membincangkan hala tuju jaringan industri-komuniti, inovasi dan potensi pengkomersialan produk pendidikan intervensi kreatif berimpak tinggi.

Sesi perbincangan tersebut melibatkan Pengarah ICC, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad; Timbalan Pengarah (Pengkomersialan), Prof. Madya Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad; pegawai ICC, Khairil Azfar Ahmad Zubir; Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Dr. Azizah Abdullah dan Dr. Ezany Nizarif daripada ENA Education-Industrial Partnership sebagai rakan industri strategik.

Perbincangan ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif kolaboratif yang bermula melalui projek penulisan buku “Pendidikan Kerjaya: Laluan Akademik atau Kemahiran/TVET” hasil kerjasama antara Dr. Azizah dan Dr. Ezany Nizarif dalam usaha memperkasakan kesedaran pendidikan kerjaya, pembangunan modal insan serta pemerkasaan laluan TVET selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta hasil projek geran penyelidikan Inovasi Sosial yang memfokuskan kepada Pembangunan modul “Arts & Play Therapy di sekolah”.

Melalui sesi tersebut, pelbagai cadangan strategik telah dibincangkan, termasuk pendaftaran Harta Intelek (IP), pertandingan Inovasi, projek komuniti dan pengkomersialan modul inovasi sistem eksplorasi kerjaya berasaskan Art Therapy dan Psiko-pendidikan.

Modul ini dibangunkan bagi membantu pelajar, belia, kaunselor sekolah dan institusi berasaskan TVET, ibu bapa dan komuniti memahami potensi diri serta membuat keputusan lebih tepat antara laluan akademik dan kemahiran (TVET). Inovasi ini menggabungkan elemen pendidikan kerjaya, kaunseling psikologi, kesejahteraan psikososial dan eksplorasi kendiri melalui pendekatan Art Therapy.

Dr. Azizah berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan inovasi pendidikan, malah turut membuka ruang lebih luas kepada pengukuhan jaringan industri dan komuniti melalui pendekatan pendidikan kerjaya yang lebih relevan dengan keperluan semasa generasi muda dan tren pekerjaan abad ke-21.

“Pendidikan kerjaya hari ini memerlukan pendekatan lebih human-centred, interaktif, kreatif dan dekat dengan realiti keperluan semasa pelajar.

“TVET dan akademik tidak seharusnya dilihat sebagai dua laluan berasingan, tetapi sebagai peluang masa depan yang sama penting untuk pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat,”katanya.

Sementara itu, Dr. Ezany Nizarif pula menekankan kepentingan kolaborasi akademia-industri dalam menghasilkan inovasi yang bukan sahaja bersifat teori tetapi juga mempunyai nilai aplikasi, nilai sosial serta pemindahan ilmu dan kepakaran dari menara gading kepada pelbagai lapisan komuniti.

“Kerjasama antara universiti dan industri amat penting dalam menghasilkan inovasi pendidikan yang mampu memberi impak terus kepada masyarakat, sekolah, institusi TVET dan pembangunan belia.

“Pendekatan yang lebih santai, kreatif , unik dan berunsur psiko-pendidikan seperti ini sangat relevan dalam Education 4.0,” katanya.

Perbincangan tersebut turut memberi penekanan kepada agenda TVET MADANI dan pembangunan modal insan negara melalui pendekatan pendidikan bermakna yang lebih inklusif, kontemporari dan berorientasikan kesejahteraan pelajar.

Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi UUM dalam memperkukuh kolaborasi industri dan komuniti serta meningkatkan impak inovasi universiti kepada masyarakat melalui pendekatan pendidikan yang lestari dan berdaya saing.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button