Bengkel SBM dedah pelajar kepada persediaan dalam menghadapi alam pekerjaan
Gambar Media SULAM ToT, SBM
SINTOK, 18 Mei 2026: Seramai 43 pelajar yang mengikuti kursus BPMHK3133 Management Training for Trainers di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menyertai bengkel bertajuk “From Application To Employee: Mastering Digital Interview and Cvs”.
Kursus ini merupakan sebahagian daripada program SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) bagi program Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, yang menggabungkan pembelajaran teori dengan pengalaman praktikal berasaskan komuniti.

Program ini merupakan sebahagian daripada keperluan kursus BPMHK3133 Management Training for Trainers di bawah seliaan Dr. Nor Farah Hanis Zainun dan Dr. Siti Noorjannah Abd Halim.
Pengerusi Program Pengurusan Sumber Manusia, Dr. Edora Ismail berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar yang memfokuskan kepada persediaan dalam menghadapi alam pekerjaan.
Selain itu, menurutnya, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pelajar khususnya dalam aspek temu duga digital dan penyediaan curriculum vitae (CV) yang berkesan.
Katanya, bengkel ini juga selaras dengan keperluan pelajar yang bakal menghadapi latihan industri pada masa hadapan dan meningkatkan tahap keyakinan diri, kemahiran interpersonal dan kebolehpasaran graduan dalam kalangan pelajar.

“Bengkel ini memberikan impak yang sangat positif kepada para pelajar, khususnya dalam memperkukuhkan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri masa kini.
“Pendedahan kepada teknik temu duga secara digital amat memberi manfaat kepada pelajar kerana kebanyakan proses pengambilan pekerja pada masa kini dijalankan secara dalam talian dan memerlukan tahap keyakinan serta kemhairan komunikasi yang tinggi,” katanya.
Program ini menampilkan slot utama iaitu From Application To Employee: Mastering Digital Interview and Cvs yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pendaftar daripada Unit Pembangunan Bakat, Jabatan Sumber Manusia, Kartini Tajul Urus.
Slot ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai persediaan menghadapi temu duga digital, teknik komunikasi yang berkesan semasa sesi temu duga serta kaedah menghasilkan CV yang profesional dan berkualiti, selain pelajar juga didedahkan dengan perkongsian pengalaman sebenar berkaitan proses pengambilan pekerja bagi membantu mereka memahami kehendak majikan mengikut trend terkini.

Dari segi impak, program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan pembelajaran berasaskan kemahiran digital dan pembangunan kompetensi profesional dalam kalangan pelajar.
Selain itu, ia juga menyokong SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi dengan meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penguasaan kemahiran temu duga digital, penyediaan CV yang efektif serta pendedahan kepada keperluan sebenar industri pekerjaan masa kini.
Program ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan serta memberi impak positif kepada pelajar dalam melahirkan graduan yang lebih kompeten, profesional dan bersedia menghadapi cabaran alam pekerjaan sebenar. Kejayaan program ini turut mencerminkan komitmen pelajar dalam menganjurkan program berimpak tinggi yang selari dengan keperluan semasa industri. – Syazfina Izwa Ismail



