UUM COB Open Day 2026 meriah di UUM Kampus Kuala Lumpur
Berita dan gambar oleh: Muhammad Muadz Madzlan
KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) melalui College of Business (COB) telah menganjurkan Program UUM COB Open Day 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Mei 2026 di Aras Bawah, UUM Kampus Kuala Lumpur.
Program ini diadakan bertujuan mempromosikan pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan di bawah TISSA-UUM kepada orang ramai, khususnya lepasan sekolah, graduan serta individu yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Antara program yang ditawarkan ialah program prasiswazah yang merangkumi Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian serta Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian. Selain itu, bagi peringkat pascasiswazah, program yang ditawarkan termasuk Doktor Falsafah (PhD) Perakaunan, Sarjana Sains (Perakaunan), Sarjana Sains (Perakaunan Antarabangsa) dan Sarjana Percukaian.
Selain itu, program ini turut membuka peluang kepada individu yang berminat dalam bidang akademik untuk menyertai TISSA-UUM sebagai tenaga pengajar. Inisiatif pencarian pensyarah ini memberi ruang kepada calon berkelayakan untuk meneroka peluang kerjaya akademik dalam persekitaran pendidikan yang kompetitif dan progresif.
Sepanjang program berlangsung, para pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat secara terus daripada wakil fakulti, sesi konsultasi akademik serta penerangan berkaitan laluan kerjaya dan prospek pengajian di TISSA-UUM.

Penganjuran program ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat, di samping menarik lebih ramai bakat akademik serta pelajar berkualiti untuk bersama membina kecemerlangan Universiti Utara Malaysia.



