Education

Pelajar UUM peroleh pengalaman industri global dalam Program DHL APSSC Padawan

Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal

PETALING JAYA, 19 Mei 2026: Seramai 20 pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program DHL APSSC Padawan di bawah inisiatif School of Hard Knocks (SoHK) anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) yang berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Mei lalu di pejabat DHL Asia Pacific Shared Services (APSSC), Petaling Jaya.

Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program berbentuk kelas fizikal ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai suasana kerja sebenar dalam industri global serta memperkukuhkan pengetahuan berkaitan kebolehpasaran graduan dan pembangunan kerjaya profesional.

Sepanjang program berlangsung, menurutnya, pelajar telah didedahkan dengan pelbagai perkongsian berkaitan operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DHL APSSC, selain memperoleh gambaran menyeluruh mengenai budaya kerja profesional di syarikat multinasional tersebut.

Peserta juga mengikuti pelbagai pengisian sepanjang tiga hari program termasuk sesi orientasi dan pengenalan kepada organisasi DHL APSSC, sesi “Welcome to My Company”, kesedaran pematuhan serta pendedahan berkaitan operasi kewangan dan proses kerja yang melibatkan pelbagai bahagian seperti RTR, PTP, Billing, DAC, AR, CRM, CQ, CDM, Quality, BPO, COPMIC dan HR.

Antara pengisian utama program ialah sesi perkongsian dan interaksi secara bersemuka bersama Ketua Kewangan Global DHL APSSC, Aderlinda Gonzales serta Pengarah Sumber Manusia DHL APSSC, Tharaka De Silva. Kedua-dua tokoh industri tersebut berkongsi pengalaman kerjaya, cabaran dunia pekerjaan serta panduan kepada pelajar dalam membina kompetensi diri bagi menghadapi alam pekerjaan sebenar.

Selain sesi pembelajaran dan perkongsian industri, peserta turut dibawa mengikuti lawatan sekitar pejabat DHL APSSC bagi melihat sendiri persekitaran kerja moden dan operasi harian syarikat. Pengalaman tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih dekat struktur organisasi serta budaya kerja dalam persekitaran korporat antarabangsa.

Sebelum sesi penutup berlangsung, peserta turut mengikuti sesi perkongsian pengalaman latihan industri daripada empat orang pelajar UUM yang sedang menjalani latihan industri di DHL APSSC. Dalam sesi tersebut, mereka berkongsi pengalaman sebenar sepanjang menjalani latihan industri termasuk budaya kerja profesional, tugasan yang dipelajari, cabaran yang dihadapi serta kemahiran yang diperlukan untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja korporat. Perkongsian tersebut secara tidak langsung memberi motivasi dan gambaran awal kepada peserta mengenai pengalaman bekerja di syarikat multinasional.

Dr. Fikriyah menzahirkan penghargaan kepada pihak DHL APSSC atas kerjasama strategik yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.

Beliau turut berharap agar pelajar dapat memanfaatkan segala ilmu, pengalaman dan pendedahan yang diperoleh sepanjang program sebagai nilai tambah dalam membentuk graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan global.

Program ini diharapkan dapat membantu pelajar meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta memperluaskan jaringan profesional sebagai persediaan memasuki dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button