Education

Program Pembangunan Insan Istimewa dekati kanak-kanak istimewa Kulim

Berita dan gambar Sritharan Agilan

KULIM, 24 Mei 2026: Program Pembangunan Insan Istimewa merupakan salah satu inisiatif komuniti yang melibatkan penyertaan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama sebuah rumah kanak-kanak istimewa iaitu Rumah Amal Kulim yang terletak di Kampung Bukit Awi.

Program ini dikendalikan oleh 15 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pelajar Kursus Pengurusan Kesukarelawanan (SSWPK1033) Kumpulan B di bawah seliaan Pensyarah Pengurusan Kesukarelawanan SAPSP, Dr. Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok.

Pengarah program, Sritharan Agilan dari Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kepujian (Pendidikan Moral) berkata, program ini diadakan sebagai wadah kepada pelajar untuk mendalami bidang kesukarelawanan, di samping memupuk keyakinan diri serta meningkatkan motivasi kendiri.

Selain itu, menurutnya, program ini turut bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim antara peserta dengan anak-anak istimewa di rumah tersebut melalui pelbagai aktiviti seperti permainan interaktif, aktiviti berkumpulan dan sesi pembelajaran santai yang memberikan pendedahan ilmu.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan diharapkan dapat menceriakan anak-anak istimewa tersebut serta mewujudkan suasana yang positif, harmoni dan penuh kasih sayang.

Di samping itu, program ini juga berperanan sebagai latihan kerjaya secara praktikal kepada para pelajar untuk menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, prihatin serta mempunyai daya kepimpinan yang tinggi dalam mengendalikan sesuatu program.

Mereka turut menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan harian kepada Rumah Amal Kulim sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap kebajikan penghuni rumah tersebut.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button