Program SULAM UUM perkasa kesedaran komuniti melalui Kanvas Keselamatan Negara
Berita dan gambar Azrina Abdul Razak
ALOR SETAR, 24 Mei 2026: Program Kanvas Keselamatan Negara, sebuah inisiatif Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) telah dilaksanakan di Lorong Selamat, Alor Setar melibatkan seramai 136 pelajar secara sistem giliran kerja sepanjang tempoh program pada 12, 17 dan 18 Mei 2026.

Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia (UUM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Alatmart selaku penaja, pelajar daripada kursus SDCIK3183 dan SDCDK1013 bersama tiga pensyarah penyelaras. Turut terlibat adalah pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).
Pensyarah Penyelaras, Azrina Abdul Razak, berkata, bertemakan “Keselamatan Negara, Tanggungjawab Bersama”, program ini berjaya menghasilkan lima mural di sekitar Lorong Selamat yang mengetengahkan mesej keselamatan negara, patriotisme dan keharmonian kaum.
Dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi), program SULAM menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti melalui pendekatan experiential learning dan High Impact Educational Practices (HIEPs).

Kemuncak program ini adalah Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari merangkumi upacara menandatangani dinding mural, walkabout di Lorong Selamat serta penyampaian cenderahati kepada rakan kolaborasi strategik program ini.
Azrina berkata, pengalaman turun padang ini memberi nilai pembelajaran yang melampaui bilik kuliah.
“Pelajar bukan sahaja mengaplikasikan kemahiran komunikasi dan visual, malah belajar berunding, merancang dan bekerja dalam pasukan yang melibatkan agensi luar. Itulah intipati SULAM,” katanya.
Pelajar , Tan Zhen Fei berkata, dia tidak menyangka pengalaman melukis mural ini begitu bermakna.
Menurutnya, bukan sekadar menghasilkan karya seni, tetapi benar-benar belajar berkomunikasi dan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam situasi sebenar. Ia pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Ketua Penolong Pengarah Keselamatan Negeri MKN Kedah, Mohd Zulhilmi Zulkifly turut merakamkan penghargaan atas kejayaan program ini.
“Lorong yang dahulunya kelihatan suram kini berjaya diceriakan dengan sentuhan kreatif dan semangat komuniti.
“Saya berharap masyarakat dapat bersama-sama menjaga keindahan Alor Setar dan membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam mempromosikan keselamatan,” katanya.
Turut menjayakan program ini ialah Dr. Adzira Husain dan Alis Suraya Shaharim selaku pensyarah penyelaras, serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi (TDPI), Prof. Madya Dr. Syamsul Baharin Zaibon yang turut hadir memberikan sokongan dan komitmen pihak pengurusan SCIMPA terhadap inisiatif khidmat komuniti ini.



