Campus

Pusat Alumni anjur Modul Pengenalan Keusahawanan Nanaspreneur Muda

Gambar Khairul Azman Rohim

SINTOK, 24 Mei 2026: Pusat Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Modul Pengenalan Keusahawanan Nenaspreneur Muda dengan kerjasama alumni UUM, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) serta Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) UUM.

Program yang berlangsung di MD2 Botanic Café & Resort, Changlun itu melibatkan seramai 30 pelajar Agribusiness SEFB di bawah seliaan Dr. Hartini Husin.

Dr. Hartini berkata, seminar ini bertujuan memberi pendedahan awal berkaitan industri nanas MD2 serta peluang keusahawanan agro kepada pelajar UUM.

Sebanyak tiga slot utama telah diperkenalkan sepanjang program berlangsung iaitu slot pertama bertajuk “Kursus Asas Pengurusan Tanaman Nanas” telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi, Samsuri Ibrahim yang berkongsi pengetahuan asas berkaitan pengurusan dan teknik penanaman nanas secara sistematik.

Slot kedua pula menampilkan Pengusaha MD2 Botanic Café, Uzir Abd Majid menerusi tajuk “Daripada Sebiji Nanas ke Sebuah Ekosistem Ekonomi” yang memberi pendedahan mengenai potensi industri nanas dalam menjana ekonomi dan peluang perniagaan.

Sementara itu, slot ketiga bertajuk “Nanas MD2: Pengalaman, Teori & Praktikal” telah disampaikan oleh alumni UUM, Ku Mohd. Fauzi Ku Yaacob yang berkongsi pengalaman sebenar, cabaran serta peluang dalam bidang keusahawanan nanas.

Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar berkata, program ini dilihat mampu memberi inspirasi serta menambah pengetahuan baharu kepada pelajar dalam meneroka peluang keusahawanan berasaskan pertanian moden, khususnya dalam industri nanas tempatan.

Selain itu, menurutnya, modul yang diperkenalkan juga diharapkan dapat membantu pelajar memahami aspek teori dan praktikal penanaman nanas secara lebih menyeluruh, sekali gus meningkatkan kemahiran serta minat mereka dalam bidang agropreneur. – Ahmad Amsyar Abd Razak

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button