Education

CEDI cipta pengalaman bermakna buat komuniti autisme NASOM Alor Setar

Gambar  OCJ CEDI

ALOR SETAR, 25 Mei 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan program tanggungjawab sosial universiti bertajuk CEDI Social Entrepreneurship USR Program: Taste of Independence – Sensory Kitchen for NASOM Alor Setar Autism Community bertempat di NASOM Alor Setar.

Program ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif CEDI dalam memperkasakan agenda keusahawanan sosial, pembangunan komuniti dan tanggungjawab sosial universiti (USR) melalui pendekatan yang lebih inklusif, praktikal dan dekat dengan masyarakat.

Penganjuran program ini memberi tumpuan kepada komuniti autisme dengan menyediakan ruang pembelajaran yang mesra, santai dan menyeronokkan melalui aktiviti berasaskan kemahiran asas penyediaan makanan.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 27 peserta orang kurang upaya (OKU) autisme daripada pelbagai lapisan umur di bawah NASOM Alor Setar dengan sokongan 11 tenaga pengajar NASOM serta penglibatan aktif 13 staf CEDI UUM yang bertindak sebagai fasilitator dan penyelaras program.

Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar berkata, menerusi program ini, peserta didedahkan dengan konsep asas keusahawanan sosial serta kepentingan kemahiran berdikari dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, antara pengisian utama program termasuk slot pengenalan keusahawanan sosial, aktiviti penghasilan roti sandwich dan cupcake, sesi interaksi berkumpulan, aktiviti bersama fasilitator serta penyerahan cenderamata dan sesi penghargaan kepada pihak NASOM Alor Setar.

Aktiviti penyediaan makanan yang dijalankan bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada peserta, malah membantu meningkatkan kemahiran sensori, koordinasi motor halus dan perkembangan kognitif peserta autisme melalui aktiviti hands-on yang melibatkan sentuhan, tekstur, warna dan susunan bahan makanan.

Pendekatan pembelajaran secara praktikal seperti ini turut membantu meningkatkan fokus, keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta keupayaan peserta untuk berinteraksi dan bekerjasama dalam kumpulan.

Pada masa yang sama, program ini turut memberi pendedahan awal kepada peserta tentang potensi produk makanan ringkas yang boleh dibangunkan sebagai produk bernilai komersial pada masa hadapan melalui pendekatan keusahawanan sosial yang lebih inklusif dan mampan.

Dr. Juhaida berkata, pelaksanaan program ini juga mencerminkan komitmen CEDI UUM dalam menyokong pembangunan komuniti melalui pendekatan keusahawanan yang memberi impak sosial. Melalui kerjasama bersama NASOM Alor Setar, CEDI berhasrat untuk terus memperkukuhkan hubungan universiti dengan komuniti setempat, khususnya dalam menyediakan platform yang mampu memberi manfaat kepada golongan sasaran melalui ilmu, pengalaman dan sokongan berterusan.

Menurutnya, program ini sebagai salah satu usaha penting universiti dalam memperluas impak keusahawanan sosial kepada komuniti yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.

Katanya, pendekatan program yang berasaskan aktiviti praktikal dan interaktif mampu membantu meningkatkan keyakinan diri peserta di samping memberi pendedahan awal terhadap elemen kemahiran dan keusahawanan yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian.

“CEDI sentiasa komited untuk memperkasakan agenda keusahawanan sosial melalui pelaksanaan program yang bukan sahaja memberi impak kepada komuniti, malah turut membentuk nilai empati, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras NASOM Alor Setar, Norizah Zakaria turut merakamkan penghargaan kepada pihak CEDI UUM atas kesudian melaksanakan program bersama komuniti NASOM Alor Setar.

Beliau berharap jalinan kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada pelajar autisme, malah membantu meningkatkan kemahiran sosial, komunikasi dan keyakinan diri mereka melalui aktiviti yang lebih santai dan menyeronokkan.

CEDI UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak NASOM Alor Setar atas kerjasama dan sambutan yang diberikan, serta kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Selaras dengan agenda pembangunan komuniti dan keusahawanan sosial universiti, CEDI akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti istimewa dan golongan minoriti melalui pendekatan pendidikan, pemindahan ilmu dan pembangunan kemahiran secara inklusif dan lestari. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button