Program “Islamic Business Hunt” semarak semangat ukhuwah pelajar UUM bersempena ‘COB Week’
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Hydzulkifli Hashim
SINTOK, 24 Mei 2026: Program “Islamic Business Hunt” telah dianjurkan di Universiti Utara Malaysia sebagai inisiatif memupuk semangat ukhuwah dan kerjasama dalam kalangan pelajar.
Program ini diterajui oleh pelajar Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Aliyah Balqis Mohd Saharudin dan dilaksanakan bersempena penganjuran COB Week yang berlangsung dari 19 hingga 21 Mei lalu.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Dr. Hydzulkifli Hashim di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah.
Aliyah Balqis berkata, program berbentuk eksplorasi dan cabaran interaktif ini melibatkan penyertaan pelajar daripada pelbagai jurusan dengan objektif mengeratkan hubungan silaturahim serta menerapkan nilai kepimpinan, komunikasi, dan kerja berpasukan.
Sepanjang program berlangsung, menurutnya, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berkaitan konsep perniagaan Islam yang mampu meningkatkan kefahaman serta kesedaran mengenai nilai-nilai perniagaan berteraskan syariah semasa.

Program ini turut menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta yang menyifatkannya sebagai platform terbaik untuk membina hubungan lebih erat dalam kalangan pelajar, di samping mewujudkan suasana kampus yang lebih harmoni dan positif.
Pihak penganjur berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah, dan semangat ukhuwah serta kerjasama secara berpasukan.



