Campus

Program Inkubator Innopreneur SMMTC bantu pelajar fahami pemasaran animasi melalui YouTube

Gambar Kelab Multimedia SMMTC dan Mohd Asri Mohd Rodzi

SINTOK, 24 Mei 2026: Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) telah menganjurkan Bengkel Pemasaran Digital Animasi 3D Menggunakan YouTube Bersama Industri pada 19 Mei lalu di Dewan Seminar SMMTC sebagai memenuhi keperluan untuk Program Inkubator Innoprenuer SMMTC.

Bengkel ini memberi fokus kepada strategi pemasaran digital dan kaedah memperkenalkan kandungan kreatif kepada peserta melalui platform media sosial seperti YouTube.

Sebelum ini bengkel hanya menumpukan kepada aspek pembangunan kandungan dan penghasilan animasi 3D, kali ini pula memberi penekanan kepada kepentingan pemasaran digital dalam memastikan kandungan kreatif dapat menjangkau audiens sasaran dengan lebih berkesan.

Perkembangan pesat industri animasi dan kandungan digital yang selari dengan kemajuan platform media sosial global menjadikan pengetahuan tentang strategi pemasaran digital sebagai keperluan penting bagi penggiat industri kreatif.

Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad berkata, pelajar perlu memanfaatkan peluang yang diberikan untuk menimba ilmu, bertanya soalan, dan memperoleh pengalaman secara langsung daripada penceramah industri yang dijemput.

Penceramah pertama, Pengurus (Pemasaran Digital) di Khalifah Media Networks Sdn. Bhd., Mohd Faisol Rahim  berkongsi pengalaman berkaitan pemasaran digital dalam industri animasi yang menekankan kepentingan kandungan kreatif yang unik dan mempunyai identiti tersendiri bagi menarik perhatian penonton.

Menurutnya, penggiat animasi perlu berani menghasilkan karya yang mempunyai kelainan atau “gap” agar mampu menonjol dalam pasaran yang semakin kompetitif. selain memahami tentang data analitik seperti demografi umur, minat penonton, dan kadar interaksi pengguna di platform digital dapat membantu pembangun animasi menghasilkan kandungan yang lebih relevan dan berimpak tinggi.

Penceramah kedua, Pengarah Digital di GYL Media Services Sdn. Bhd., Gan Yon Li yang merupakan alumni UUM berkongsi mengenai penggunaan data analitik YouTube sebagai platform untuk memahami tingkah laku penonton.

Beliau menerangkan bahawa data seperti julat umur, jantina, lokasi penonton, masa tontonan, jumlah tontonan, kadar interaksi, dan jenis peranti yang digunakan boleh dianalisis bagi membantu penghasilan strategi kandungan yang lebih efektif dan mampan.

Program ini turut dijalankan dengan kerjasama Multimedia, Innovation and Digital Humanities Research Unit (MIDHRU).

Ahli MIDHRU, Jasni Ahmad berkata, program seperti ini amat penting dalam memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai realiti sebenar industri kreatif digital dan pihak industri dapat membuka perspektif baharu kepada pelajar dalam memahami bagaimana kandungan kreatif boleh dipasarkan, dibangunkan jenamanya, dan seterusnya menjana pendapatan secara mampan.

Bengkel ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata kepada para penceramah yang disampaikan oleh Ketua Projek Program Inkubator Innopreneur SMMTC, Dr. Mohd Fairuz  Zaiyadi, sambil diiringi oleh Dr. Hammuzamer Irwan Hamzah.  – Ts. Dr. Nadia Diyana Mohd Muhaiyuddin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button