Education

UUM-IRM perkukuh tadbir urus risiko CIDB melalui Bengkel Semakan Daftar Risiko dan BIA

Berita dan gambar Dr. Amar Yasier Razli

SHAH ALAM, 24 Mei 2026: Institut Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia (UUM-IRM) terus memperkukuhkan peranannya sebagai pusat kepakaran universiti dalam bidang pengurusan risiko melalui penglibatan dalam Bengkel Semakan Daftar Risiko dan Analisa Impak Perniagaan Analysis (BIA) CIDB Tahun 2026.

Bengkel yang berlangsung dari 18 hingga 22 Mei lalu di Hotel Concorde, Shah Alam itu dibahagikan kepada dua kumpulan yang melibatkan seramai 20 pegawai risiko daripada Ibu Pejabat CIDB dan 19 pegawai risiko dari pejabat negeri dan cawangan CIDB, manakala Bahagian Audit dan Risiko CIDB bertindak sebagai sekretariat bengkel.

Wakil daripada UUM-IRM yang terlibat dalam bengkel ini ialah Dr. Zairol Azhar Auzzir dan Dr. Amar Yasier Razli.

Dr. Zairol Azhar berkata, bengkel ini bertujuan menerangkan pengurusan risiko dan Pengurusan Kesinambungn Perniagaan (BCM), mengemas kini daftar risiko operasi CIDB Ibu Pejabat, mengemas kini daftar risiko Pelan Tindakan Pembinaan CIDB atau CAP30, mengemas kini daftar risiko anti-rasuah berdasarkan OACP dan ISO 37001 serta membangunkan BIA CIDB.

Sepanjang bengkel, menurutnya, peserta didedahkan kepada sesi pengukuhan semula berkaitan daftar risiko dan BCM sebelum mengikuti sesi semakan daftar risiko operasi, CAP30, BIA dan daftar risiko anti rasuah.

“Pendekatan bengkel dilaksanakan secara interaktif bagi membolehkan peserta meneliti semula risiko utama, punca risiko, impak, kawalan sedia ada dan tindakan mitigasi yang perlu diberi perhatian oleh setiap bahagian.

“Melalui sesi BIA, peserta turut dibimbing untuk mengenal pasti fungsi kritikal, tempoh toleransi gangguan, keperluan sumber minimum dan keutamaan pemulihan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dapat dikekalkan sekiranya berlaku gangguan operasi. Sesi ini penting bagi membantu organisasi memahami hubungan antara risiko, impak gangguan dan strategi pemulihan yang perlu dirancang secara lebih sistematik,” katanya.

Bengkel ini juga menekankan kepentingan penyelarasan antara pegawai risiko, pemilik risiko dan sekretariat bagi memastikan daftar risiko serta BIA yang dibangunkan bukan sekadar memenuhi keperluan dokumentasi, tetapi dapat diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas, boleh dipantau dan menyokong pencapaian objektif organisasi.

Penglibatan UUM-IRM dalam bengkel ini terus memperkukuh kedudukan UUM sebagai universiti yang aktif menyumbang kepakaran akademik dan khidmat perundingan kepada sektor awam serta industri, khususnya dalam memperkemas amalan pengurusan risiko dan kesinambungan perkhidmatan organisasi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button