Kunjungan hormat UUM ke Cahya Mata Sarawak Berhad perkukuh kerjasama strategik universiti-industri
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa
KUCHING, 25 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan jaringan strategik bersama industri melalui kunjungan hormat ke Cahya Mata Sarawak Berhad, baru-baru ini yang diketuai oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Dr. Ahmad Martadha berkata, kunjungan ini bertujuan meneroka ruang kerjasama strategik antara UUM dan Cahya Mata Sarawak Berhad dalam bidang pembangunan bakat, latihan industri, kebolehpasaran graduan, pembangunan profesional, penajaan pendidikan, perkongsian kepakaran industri serta pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan projek komuniti.
Menurutnya, antara hasil penting pertemuan tersebut ialah persetujuan kedua-dua pihak untuk meneruskan usaha penyediaan Memorandum Persefahaman (MOU) antara UUM dan Cahya Mata Sarawak Berhad.
“MoU ini dijangka menjadi kerangka rasmi bagi memperkukuhkan kerjasama secara lebih tersusun, berfokus dan berimpak tinggi, khususnya dalam bidang pembangunan modal insan, hubungan universiti-industri serta inisiatif yang memberi manfaat kepada pelajar, staf, industri dan komuniti,” katanya.
Pertemuan tersebut turut membincangkan pencalonan semula Ketua Pegawai Sumber Manusia, Cahya Mata Sarawak, Farid Basir sebagai Ahli Majlis Penasihatan Universiti-Industri (MPUI) UUM bagi penggal lantikan baharu yang dilihat dapat terus menyumbang kepada pemerkasaan peranan MPUI sebagai platform strategik yang menghubungkan pandangan, pengalaman dan kepakaran industri dengan hala tuju pembangunan akademik, penyelidikan, kebolehpasaran graduan dan jaringan strategik universiti.

Selain itu, UUM dan Cahya Mata Sarawak Berhad turut meneroka peluang kerjasama dalam aspek latihan industri, penempatan pelajar, bimbingan kerjaya serta laluan pekerjaan kepada pelajar dan graduan UUM, khususnya anak Sarawak. Inisiatif ini penting dalam menyediakan pendedahan industri sebenar kepada pelajar, sekali gus memperkukuh persediaan mereka untuk memasuki pasaran kerja.
Sementara itu, Farid Bashir berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada program pembangunan bakat dan pembangunan pelajar, khususnya dalam aspek pendedahan industri, persediaan kerjaya, pembangunan kepimpinan serta sesi perkongsian pengalaman bersama tokoh dan pakar industri.
Antara inisiatif yang turut dicadangkan ialah pelaksanaan program School of Hard Knocks (SOHK) iaitu program pembangunan pelajar berasaskan pendedahan dunia pekerjaan sebenar, pembentukan daya tahan, kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal, keyakinan diri serta persediaan menghadapi cabaran kerjaya.
Melalui kerjasama ini, UUM berhasrat memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar dengan input industri yang lebih praktikal, relevan dan selari dengan keperluan semasa.

Dalam usaha memperluas sokongan kepada pembangunan pelajar, pertemuan ini turut menyentuh potensi kerjasama berkaitan peluang biasiswa atau penajaan pendidikan kepada pelajar UUM yang berkelayakan.
Inisiatif ini dilihat sebagai antara ruang kerjasama yang berimpak tinggi dalam membantu pelajar meneruskan pengajian, meningkatkan motivasi akademik serta membuka laluan pembangunan bakat muda yang berpotensi untuk menyumbang kepada industri dan pembangunan negara.
Dalam aspek pembangunan profesional, UUM melalui Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) turut memperkenalkan peluang pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) kepada staf Cahya Mata Sarawak Berhad. Program ini ditawarkan sebagai platform peningkatan kompetensi pengurusan, pemantapan kemahiran kepimpinan dan pembangunan kerjaya profesional dalam kalangan warga kerja industri.
Kunjungan tersebut juga membuka ruang kepada kerjasama perkongsian kepakaran industri melalui penglibatan pakar industri dalam ceramah, bengkel, seminar, sesi bersama pelajar dan staf, serta program kepimpinan industri. Selain itu, kedua-dua pihak turut melihat potensi kerjasama dalam pelaksanaan inisiatif CSR dan projek komuniti yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat setempat.

UUM yakin bahawa kerjasama strategik bersama Cahya Mata Sarawak Berhad mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan pelajar, pengukuhan jaringan industri, peningkatan kebolehpasaran graduan serta peluasan impak universiti kepada industri dan masyarakat.
Kunjungan ini diharapkan menjadi asas kepada hubungan kerjasama yang lebih mampan dan berimpak tinggi pada masa hadapan.
Delegasi UUM yang turut hadir dalam kunjungan ini ialah Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-undang; Dekan Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Prof. Dr. Hasnizam Shaari; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Kamarul Irwan Abdul Rahim; Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam dan Timbalan Pengarah (Jaringan Industri) CUIC, Prof. Madya Dr. Normalisa Md Isa.



