Education

CEDI perkasa Homestay Sedim sebagai persiapan Grand Showcase IDCT 2.0 di UNIMAS

Gambar Pasukan ‘WanderMy’

KULIM, 25 Mei 2026: Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pemasaran Digital Destinasi Pelancongan Komuniti: Memperkasa Homestay dan Produk Komuniti melalui Destination Marketing dan Media Sosial pada 22 hingga 23 Mei lalu di Dewan Seminar, Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad.

Program ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Program Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0, sebuah program pembangunan komuniti dan pertandingan inovasi pelancongan komuniti anjuran Unit Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Program tersebut memberi penekanan kepada pembangunan projek pelancongan komuniti berimpak tinggi melalui pemerkasaan produk pelancongan tempatan, penggunaan teknologi digital serta penglibatan universiti bersama komuniti setempat.

Bengkel ini melibatkan penyertaan seramai 20 pengusaha homestay dan usahawan komuniti sekitar Sedim dengan penglibatan komuniti utama iaitu Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad. Turut terlibat ialah mentor program IDCT 2.0, Raslinda Mohd Ghazali dari Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), lima pelajar peserta IDCT 2.0 sebagai fasilitator serta wakil urus setia daripada CEDI UUM.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian berkaitan pemasaran digital pelancongan komuniti termasuk konsep destination marketing, strategi pemasaran media sosial, teknik copywriting dan storytelling serta pembangunan kandungan promosi yang lebih kreatif dan interaktif bagi meningkatkan keterlihatan produk pelancongan komuniti di platform digital.

Bengkel ini dikendalikan oleh Felo Bersekutu CEDI, Ts. Dr. Mathivannan Jaganathan yang berkongsi pelbagai teknik dan strategi pemasaran digital berdasarkan trend semasa industri pelancongan dan media sosial.

Pada hari kedua program, pasukan pelajar dan mentor IDCT 2.0 UUM turut menjalankan sesi pengumpulan data lapangan bersama komuniti bagi tujuan pembangunan projek pelancongan komuniti di bawah pertandingan IDCT 2.0. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami dengan lebih mendalam potensi produk dan pengalaman komuniti yang boleh diketengahkan menerusi platform digital.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif CEDI, Dr. Juhaida Abu Bakar berkata, program seperti ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa komuniti melalui pendekatan pemindahan ilmu dan keusahawanan berasaskan teknologi digital.

Menurutnya, kolaborasi antara universiti dan komuniti pelancongan tempatan mampu membantu meningkatkan daya saing produk pelancongan komuniti, khususnya dalam menghadapi cabaran pemasaran digital dan perubahan trend pelancongan semasa.

“CEDI sentiasa menyokong inisiatif yang memberi impak langsung kepada komuniti melalui pendekatan pembangunan keusahawanan, inovasi dan teknologi. Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah turut membuka ruang pembelajaran berasaskan pengalaman kepada pelajar universiti,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi Pelancongan Homestay Sedim Kulim Berhad, Abdul Mutalib Che Sa turut merakamkan penghargaan kepada pihak CEDI UUM atas kesudian memilih Homestay Sedim sebagai komuniti rakan strategik dalam program IDCT 2.0.

Beliau berharap ilmu dan pendedahan yang diperoleh menerusi bengkel ini dapat membantu pengusaha homestay dan usahawan komuniti meningkatkan promosi produk pelancongan secara lebih efektif melalui platform digital, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke Sedim sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, mentor program IDCT 2.0 UUM, Raslinda Mohd Ghazali menyifatkan bengkel ini sebagai salah satu komponen penting dalam pembangunan projek komuniti pasukan UUM di bawah pertandingan IDCT 2.0.

Beliau turut menyatakan harapan agar usaha kolaboratif bersama komuniti Homestay Sedim ini dapat membantu pasukan UUM menampilkan projek pelancongan komuniti yang berimpak tinggi dan seterusnya melayakkan pasukan ke peringkat akhir Grand Showcase IDCT 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 13 hingga 14 Jun 2026 bertempat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

CEDI UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini khususnya komuniti Homestay Sedim, tenaga pengajar, pelajar peserta serta rakan strategik yang sentiasa menyokong agenda pembangunan pelancongan komuniti dan keusahawanan digital negara. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button