Education

Perbincangan strategik UUM bersama MBI Selangor fokus pembangunan pendidikan anak Selangor

Gambar Dr. Fikriyah Abdullah

SHAH ALAM, 26 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan satu sesi perbincangan strategik bersama MBI Selangor bagi meneroka peluang kerjasama dalam aspek pembangunan pendidikan dan kebolehpasaran graduan, khususnya melibatkan pelajar kelahiran Selangor.

Delegasi UUM diketuai oleh Pengarah, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam bersama Penolong Naib Canselor, UUM COLGIS, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab yang juga Dekan Pusat Pengajian Undang-undang serta Pengarah, Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah.

Turut hadir mewakili MBI Selangor ialah Pengurus Besar, Pengurusan Bakat & Prestasi, Azuwadaniseh Mohd ZainĀ  dan Pengurus Pengurusan Bakat & Prestasi, Nurulasween Ahmad.

Pada sesi tersebut, Dr. Harlida telah memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan yang ditawarkan UUM sebagai program multidisiplin yang mampu melahirkan graduan berdaya saing dan mempunyai pemikiran kritikal dalam bidang profesional.

Selain itu, beliau turut membincangkan potensi penawaran biasiswa kepada pelajar kelahiran Selangor bagi memberi lebih banyak peluang akses pendidikan tinggi kepada golongan berpotensi.

Sementara itu, Dr. Fikriyah pula memperkenalkan inisiatif School of Hard Knocks (SoHK), sebuah program pembangunan pelajar yang memberi fokus kepada peningkatan kemahiran insaniah, daya tahan serta persediaan kerjaya pelajar.

Pihak MBI Selangor menunjukkan minat yang positif terhadap pelaksanaan program SoHK dan berhasrat untuk menjalinkan kerjasama melibatkan anak-anak syarikat di bawah MBI.

Kerjasama ini dilihat berpotensi memberi manfaat kepada pelajar, khususnya anak kelahiran Selangor, melalui pelbagai program pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan.

Perbincangan tersebut diharap dapat membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat antara UUM dan MBI Selangor dalam usaha memperkasa agenda pendidikan serta pembangunan modal insan negeri Selangor. – Anis Zulaikha Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button