UUM perkukuh sinergi komuniti–industri melalui perkongsian ilmu usahawan Changlun
Berita dan gambar Nurul Ain Sham
CHANGLUN, 2 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu pembangunan komuniti apabila Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) menganjurkan Program Perkongsian Ilmu Bersama Usahawan Changlun dengan kerjasama strategik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Kebajikan Peniaga-Peniaga Kecil Market Changlun di EDC-UUM.
Program berimpak tinggi ini dilaksanakan menerusi inisiatif Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menekankan pemindahan ilmu secara langsung kepada komuniti, sekali gus memperkukuh keterlibatan universiti dalam pembangunan sosioekonomi setempat.

Ketua Penyelidik, Prof. Dr. Norhafezah Yusof berkata, menghimpunkan usahawan tempatan, wakil agensi, ahli akademik serta pelajar, program ini menjadi platform strategik untuk membincangkan landskap perniagaan semasa, dengan fokus khusus terhadap adaptasi digital dan peningkatan nilai jenama dalam kalangan peniaga kecil.
inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam memperkasakan pembelajaran autentik berasaskan komuniti.
“Kerjasama erat bersama FAMA dan Pertubuhan Kebajikan Peniaga-Peniaga Kecil Market Changlun memperlihatkan model sinergi universiti–industri–komuniti yang berupaya memacu transformasi perniagaan tempatan secara lebih sistematik dan berimpak,” katanya.
Beliau menambah, penyertaan pelajar dalam program ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pembelajaran berasaskan realiti industri, malah memperkukuh keupayaan mereka sebagai agen perubahan sosial.
Menurutnya, bagi memastikan kesinambungan impak, peserta turut terlibat dalam sesi penilaian dan refleksi bagi menilai keberkesanan program serta mengenal pasti peluang kerjasama susulan antara pihak universiti, agensi dan komuniti.

Sesi utama program menampilkan perkongsian berimpak oleh pakar bidang, termasuk pembentangan penjenamaan strategik oleh Prof. Madya Dr. Sabrina Mohd Rashid serta sesi “Kebaikan Internet untuk Perniagaan: Transformasi Perniagaan Pasar Tani Melalui Platform Digital” oleh Nur Fadziana Faisal Mohamed.
Perkongsian ini memberi penekanan kepada keperluan transformasi digital dalam memperluas capaian pasaran dan meningkatkan daya tahan perniagaan komuniti.
Program ini turut disokong dengan sesi jaringan profesional dan maklum balas industri yang menggalakkan interaksi dua hala antara universiti, agensi dan komuniti usahawan, sekali gus membuka ruang kepada pembentukan kolaborasi strategik yang lebih mampan.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi UUM untuk memperluaskan peranan sebagai universiti pengurusan terkemuka yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, malah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan komuniti dan kelestarian ekonomi setempat.



