IBS UUM perkukuh jaringan akademik melalui program mobiliti di Thailand
Berita dan gambar Dr. Mohammad Naim Abd Halim
SONGKHLA, 2 Jun 2026: Seramai 10 delegasi daripada Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program mobiliti antarabangsa ke Thaksin University, Thailand pada 25 April lalu bagi memperkukuhkan jaringan akademik dan memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar.
Program ini diadakan hasil jemputan rasmi universiti berkenaan dan disertai bersama pensyarah pengiring, Dr. Mohammad Naim Abd Halim.

Dr. Mohammad Naim berkata, sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan suasana pembelajaran, budaya akademik serta hubungan antarabangsa bersama mahasiswa universiti tersebut.
Selain lawatan akademik sekitar kampus Thaksin University, delegasi turut berpeluang mengenali budaya dan sejarah masyarakat Thailand melalui beberapa aktiviti serta lawatan sekitar Songkhla.
Program ini secara tidak langsung membuka ruang pertukaran idea dan pengalaman antara pelajar dari kedua-dua institusi.

Peserta juga berkesempatan melawat beberapa lokasi menarik seperti Pantai Songkhla dan Tang Kuan Hill, selain menikmati pengalaman budaya tempatan termasuk seni urutan tradisional Thailand serta lawatan ke pasar terapung yang terkenal di kawasan tersebut.
Program mobiliti ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa serta meningkatkan keyakinan dan pengalaman global dalam kalangan pelajar UUM.



