General

Permata Perakaunan UUM, Nur Aleeya kini di rumah, terima Kunjungan Kasih Naib Canselor

Gambar JHEP

PENDANG, 2 Jun 2026: Masih ingatkah kita dengan kisah duka yang meruntun hati dan pernah tular di laman Facebook Rasmi UUM beberapa bulan lalu?

Kisah mengenai Nur Aleeya Khairani Ahmad Shukri, pelajar cemerlang Perakaunan UUM yang terlantar akibat kecederaan parah pada saraf tunjang.

Suasana hiba di bilik rawatan bertukar menjadi titisan air mata kegembiraan apabila Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed meluangkan masa menziarahi Aleeya di rumahnya di Kampung Kubang Pisang, Pendang selepas dia dibenarkan keluar dari wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Turut sama dalam kunjungan prihatin ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri yang melihat sendiri perkembangan terkini kebajikan anak didiknya itu.

Berkat doa yang tidak putus-putus daripada warga universiti dan seluruh rakyat Malaysia, keadaan Aleeya kini dilaporkan semakin pulih.

Walaupun ujian yang dihadapi masih panjang dan dia masih lagi terlantar di katilnya, namun ada sinar harapan baharu yang terbit.

“Alhamdulillah, Aleeya kini sudah menunjukkan perkembangan positif dan sudah boleh menggerakkan tangannya.

“Isyarat kecil daripada jari-jemarinya itu membawa makna yang cukup besar buat kami semua di UUM,” kata Dr. Ahmad Martadha.

Tragedi yang menimpa pelajar semester lima yang pernah mencatatkan keputusan PNGK 4.0 di Kolej Matrikulasi Kedah ini bermula pada malam 31 Januari 2026.

Aleeya terlibat dalam kemalangan motosikal sekitar pukul 9.00 malam di Changlun ketika dalam perjalanan pulang ke kampus.

Semenjak hari pertama tragedi, pengurusan tertinggi UUM tidak pernah membiarkan keluarga Aleeya berjalan sendirian dalam kegelapan.

Sebelum ini pada 11 Februari 2026, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir bersama pihak universiti telah turun padang menyerahkan sumbangan awal RM10,000 daripada Tabung Bantuan Kebajikan Pelajar serta hasil kutipan kilat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Kunjungan Naib Canselor ke kampung halaman Aleeya, baru-baru ini membuktikan bahawa komitmen UUM Prihatin bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam, tetapi sebuah ikatan kasih sayang yang berterusan sehingga pelajarnya benar-benar bangkit semula.

Pihak universiti akan terus memantau keperluan Aleeya, terutamanya dari segi sokongan moral, kebajikan keluarga, dan kelangsungan akademiknya pada masa hadapan.

Kami di seluruh warga Universiti Utara Malaysia mendoakan agar Nur Aleeya Khairani terus diberikan kekuatan, ketabahan, dan kesembuhan yang keajaiban daripada Allah SWT. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button