General

UUM terus prihatin serah katil elektrik kepada pelajar terlibat kemalangan

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

PENDANG, 4 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan komitmen dalam menjaga kebajikan pelajarnya apabila Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri menyerahkan katil elektrik kepada pelajar Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Nur Aleeya Khairani Ahmad Shukri di Kampung Kubang Pisang, semalam.

Katil elektrik tersebut merupakan sumbangan wakaf daripada Anissa & Marina Advocates & Solicitors bagi membantu memudahkan urusan penjagaan serta memberikan keselesaan yang lebih baik kepada Aleeya sepanjang proses pemulihannya di rumah.

Selain penyerahan katil elektrik, pihak universiti turut menyampaikan sumbangan makanan dan barangan keperluan harian kepada keluarga Aleeya sebagai tanda keprihatinan berterusan terhadap kebajikan pelajar berkenaan.

Nur Aleeya sebelum ini mendapat perhatian ramai apabila terlibat dalam kemalangan motosikal pada 31 Januari lalu ketika dalam perjalanan pulang ke kampus yang menyebabkan dia mengalami kecederaan parah pada saraf tunjang dan terpaksa menjalani rawatan rapi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Di sebalik ujian yang dihadapinya, Aleeya terus menunjukkan semangat yang tinggi apabila banyak menghabiskan masanya dengan membaca bagi mengisi waktu pemulihan, di samping memperlihatkan keinginan yang kuat untuk kembali meneruskan pengajian serta mengejar cita-citanya seperti sebelum ini.

Dalam kunjungan tersebut, Aleeya bersama ibu bapanya dilihat semakin ceria dan bersemangat, manakala perkembangan kesihatannya juga menunjukkan petanda yang positif apabila dia semakin pulih dan terus menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Perkembangan menggembirakan itu memberikan sinar harapan baharu kepada keluarga Aleeya serta seluruh warga UUM yang sentiasa mengikuti perkembangan dan mendoakan kesembuhannya.

Universiti akan terus memberi sokongan berterusan kepada Aleeya dan keluarganya bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar serta membolehkannya kembali meneruskan pengajian dengan baik pada masa hadapan. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button