Education

Pelajar UUM buktikan daya saing di Graduan Aspire Career Fair 2026

Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal

KUALA LUMPUR, 7 Jun 2026: Seramai 20 Graduan Ambassador dan 20 pelajar terbaik yang mewakili setiap pusat pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menghadiri Graduan Aspire Career Fair 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Penyertaan delegasi UUM dalam pameran kerjaya terbesar negara ini memberi peluang kepada pelajar untuk meneroka prospek kerjaya, membina jaringan profesional serta berinteraksi secara langsung dengan majikan daripada pelbagai industri.

Lebih 60 syarikat dan organisasi terkemuka telah mengambil bahagian dalam pameran tersebut yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, latihan industri dan program pembangunan bakat kepada graduan serta bakal graduan.

Pengarah Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Dr. Fikriyah Abdullah berkata, dalam program ini, seramai 20 Graduan Ambassador UUM turut memainkan peranan penting sebagai sekretariat yang membantu melancarkan perjalanan Graduan Aspire Career Fair 2026.

“Penglibatan mereka bukan sahaja meningkatkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi, malah memberi pendedahan secara langsung terhadap pengurusan acara berskala besar yang melibatkan majikan dan pencari kerja dari seluruh negara,” katanya.

Empat pelajar UUM iaitu Kayreena Sri Ha, pelajar Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS); Amisha Chan Hoy Len, pelajar Pusat Pengajian Antarabangsa (SOG) dan Kalidas a/l Paniarselvam serta Nur Syaza Izzati Abd Majid, pelajar Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) berjaya terpilih dalam kalangan 400 pelajar terbaik daripada universiti-universiti di seluruh Malaysia untuk menyertai sesi Speed Interview bersama beberapa majikan terkemuka. Pemilihan ini membuktikan keupayaan dan daya saing pelajar UUM dalam menampilkan potensi serta kebolehpasaran graduan yang tinggi di peringkat nasional.

Selain menghadiri pameran kerjaya dan sesi temu duga pantas, pelajar turut berpeluang menyertai sesi persidangan bertajuk Building the Nation’s Talent Powerhouse yang disampaikan oleh Head of Talent Attraction & Acquisition, Maybank, Dr. Iddin A. Manaf.

Sesi tersebut memberi pendedahan mengenai keperluan bakat masa hadapan, strategi pembangunan modal insan serta peranan institusi pendidikan dan industri dalam melahirkan tenaga kerja yang kompetitif dan berdaya tahan.

Kejayaan dan penglibatan aktif delegasi UUM sepanjang program turut mendapat maklum balas yang amat positif daripada pihak Graduan. Mereka memuji kesungguhan, profesionalisme serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para pelajar UUM, khususnya dalam melaksanakan tugasan sebagai sekretariat dan ketika berinteraksi dengan majikan serta peserta program.

Sikap proaktif, kemahiran komunikasi yang baik dan kebolehan menyesuaikan diri dalam persekitaran profesional telah menyerlahkan imej positif UUM sebagai institusi yang berjaya melahirkan pelajar berkualiti dan berdaya saing.

Penyertaan dalam Graduan Aspire Career Fair 2026 diharap dapat memperkukuhkan kesiapsiagaan kerjaya pelajar UUM serta membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik antara universiti dan pihak industri dalam usaha melahirkan graduan yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button