Campus

Yayasan Kebajikan Negara Zon Utara adakan lawatan strategik Ke SAPSP

Berita dan gambar Dr. Mohd Ahsani A.Malek

SINTOK, 7 Jun 2026: Delegasi daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Zon Utara telah mengadakan lawatan strategik ke Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuhkan agenda kebajikan, kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti.

Delegasi YKN diketuai oleh Pegawai Operasi Zon Utara, Marsha Tan Ling Fern yang juga merupakan alumni Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial bersama Kaunselor Yayasan Kebajikan Negara, Nur Hazwani Muhamad Hambali yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program-program kebajikan dan sokongan psikososial masyarakat.

Sementara itu, pihak SAPSP diwakili oleh Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Nurhazlina Mohd Ariffin; Pengerusi Program Pascasiswazah Kerja Sosial, Dr. Teoh Ai Hua; Pengerusi Program Pascasiswazah Psikologi, Kaunseling dan Koreksional, Dr. Norazlina Zakaria; Pengerusi Program Sarjana Muda Psikologi dan Kaunseling, Dr. Mohd Ahsani A. Malek; Pengerusi Program Sarjana Muda Kerja Sosial, Dr. Azlinda Sulaiman serta Penasihat Kelab PERKEP, Prof. Madya Dr. Norzaliza Alis.

Dr. Zarina berkata, lawatan tersebut menjadi platform penting dalam mempererat hubungan antara institusi akademik dan agensi kebajikan melalui perancangan pelbagai program dan inisiatif yang mampu memberi manfaat kepada mahasiswa serta masyarakat secara keseluruhannya.

Menurutnya, mereka menyambut baik hasrat YKN untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dan berterusan dengan SAPSP.

“Kerjasama antara universiti dan agensi kebajikan amat penting dalam memastikan ilmu yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada amalan sebenar yang memberi impak kepada masyarakat.

“Kami berharap hubungan strategik ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam program pembangunan komuniti dan kesukarelawanan yang berimpak tinggi,” katanya.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan program pendaftaran dan pelancaran keahlian Sahabat PSSS YKN, penganjuran Program Bicara Sosial, serta penerbitan podcast sosial yang mengetengahkan isu-isu berkaitan kebajikan, kesejahteraan sosial, kesihatan mental dan kesedaran komuniti.

Inisiatif ini dilihat mampu menjadi medium pendidikan sosial yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai isu semasa.

Sementara itu, Marsha Tan Ling Fern berkata, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi merupakan satu langkah penting dalam memperkukuhkan usaha pembangunan sosial yang lebih inklusif dan mampan.

“Universiti merupakan rakan strategik yang penting dalam usaha membangunkan masyarakat. Melalui kolaborasi seperti ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, malah dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan, advokasi dan khidmat sosial,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa penglibatan alumni dalam menjayakan kerjasama antara YKN dan UUM merupakan satu penghargaan yang amat bermakna.

“Sebagai alumni UUM, saya amat berbesar hati dapat kembali ke alma mater dan meneroka peluang kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada pelajar serta masyarakat.

“Saya percaya gabungan kepakaran akademik dan pengalaman lapangan dapat menghasilkan impak yang lebih besar kepada komuniti,” katanya.

Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha memperluas jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan komuniti, advokasi sosial, pembangunan sukarelawan serta penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat masyarakat.

Lawatan berkenaan diakhiri dengan sesi perbincangan lanjut mengenai perancangan program bersama yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan. Kerjasama antara SAPSP dan YKN ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan komuniti yang lebih prihatin, sejahtera dan berdaya tahan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button