Lawatan kunjungan hormat Pusat Kelestarian UUM ke E-Idaman Sdn. Bhd.
Berita dan gambar Muhammad Luqman Hakim Rosdi
ALOR SETAR, 8 Jun 2026: Hubungan dua hala antara sektor akademik dan industri pengurusan sisa pepejal melangkah ke satu fasa baharu apabila Pusat Kelestarian (Sustainability Office) Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan lawatan kunjungan hormat ke pejabat Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) di sini, baru-baru ini.
Delegasi Pusat Kelestarian UUM telah diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azharudin Ali telah disambut baik oleh Ketua Jabatan Perancangan Operasi, E-Idaman Sdn Bhd., Mohd Fadzly Ariffin.

Dr. Azharudin berkata, lawatan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan korporat yang erat, di samping meneroka peluang kerjasama strategik yang komprehensif dalam memelihara serta memulihara kelestarian alam sekitar demi masa hadapan.
“Sebagai sebuah entiti yang baru ditubuhkan di peringkat universiti, pusat ini menggalas portfolio penting khusus untuk menerajui, menyelaraskan, dan melaksanakan pelbagai fungsi serta dasar berkaitan agenda kelestarian kampus.
“Lawatan ini merupakan salah satu langkah proaktif luar kampus yang pertama bagi Pusat Kelestarian dalam usaha membina rantaian jaringan industri yang kukuh, khususnya dalam aspek pengurusan alam sekitar yang mampan,” katanya.
Dalam pertemuan berkenaan, delegasi UUM mengambil peluang untuk memperkenalkan peranan, visi, dan misi utama Pusat Kelestarian kepada pihak pengurusan E-Idaman.

Selain daripada sesi suai kenal rasmi, kedua-dua pihak turut mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai pelaksanaan projek-projek hijau bersama, sistem pengurusan sisa yang lebih efektif, serta perkongsian data dan kepakaran teknikal bagi merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan praktikal di industri.
Maklum balas yang diberikan oleh pihak pengurusan E-Idaman amat positif dan menggalakkan sepanjang sesi perbincangan tersebut berlangsung dan secara terbuka menyatakan minat yang mendalam serta kesediaan mereka untuk memberikan sokongan padu bagi apa-apa bentuk kerjasama pada masa akan datang yang boleh mendatangkan implikasi positif serta manfaat bersama kepada kedua-dua belah pihak.
Sinergi yang terjalin menerusi kunjungan hormat ini diharapkan dapat membuka lembaran baharu dalam menggabungkan kepakaran yang dimiliki oleh UUM serta pengalaman praktikal yang luas oleh E-Idaman di lapangan.
Kolaborasi strategik ini diyakini mampu memberi impak positif yang signifikan serta menjadi pemangkin kepada usaha pemeliharaan alam sekitar, bukan sahaja buat warga kampus dalam membentuk ‘Kampus Hijau’, malah bakal memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan komuniti setempat di seluruh negeri Kedah secara keseluruhannya.



