“Royal Heritage Experience (RHE): A Day At Istana Sepachendera 2026” perkenal warisan Kedah kepada masyarakat
Berita dan gambar Nur Fatin Farida Zulkifle
ALOR SETAR, 8 Jun 2026: Program “Royal Heritage Experience (RHE): A Day at Istana Sepachendera 2026” telah berjaya dianjurkan oleh pelajar sarjana dengan kerjasama pelajar Ijazah Sarjana Muda daripada Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) di bawah bimbingan Pengarah Program, Siti Norlia Mazlan.
Program ini dilaksanakan di bawah seliaan Dr. Amirul Husni Affifudin sebagai sebahagian daripada inisiatif akademik untuk memperkenalkan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai sejarah dan warisan Istana Sepachendera.
Program ini turut mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah untuk menggunakan kawasan Istana Sepachendera sebagai lokasi penganjuran.

Penganjuran program ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Alumni Sekolah Sultanah Asma (SMSA), Projek Objek, Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Persatuan Silat Cekak Malaysia Cawangan Kedah serta Colonel Vision Enterprise.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Prof. Madya Dr. Kamal Izzuwan Ramli serta Datin Che Hasnah Abdullah.
Salah satu pengisian utama program ialah sesi podcast bertajuk “Sejarah dan Latar Belakang Istana Sepachendera” yang dikendalikan oleh moderator, Farah Afiqah Azmi.
Sesi tersebut menampilkan dua panel jemputan istimewa iaitu Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Hamli Asadi Almalini dan Penasihat Persatuan Bekas Pelajar KBGS/SMSA, Dato’ Nasriah Maghribi.
Dalam sesi perkongsian tersebut, Hamli Asadi menghuraikan sejarah dan warisan diraja Kedah serta latar belakang Istana Sepachendera.
Menurutnya, istana bersejarah yang terletak di Alor Setar itu dibina oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai kediaman bersama permaisuri baginda, Sepachandra.

“Selain terkenal dengan keunikan seni bina dan kisah-kisah yang dikaitkan dengannya, istana tersebut merupakan khazanah warisan penting yang mencerminkan perkembangan sejarah, budaya dan pembangunan negeri Kedah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Sultan Abdul Hamid Halim Shah dikenali sebagai seorang pemerintah yang berpegang teguh kepada ajaran Islam serta mempunyai keperibadian yang alim dan warak sehingga ada yang mengangkat baginda ke taraf waliyullah.
Sementara itu, Dato’ Nasriah Maghribi berkongsi pengalaman beliau sebagai alumni Kampung Baru Girls’ School (KBGS) yang pernah beroperasi di Istana Sepachendera sebelum berkembang menjadi Sekolah Sultanah Asma (SMSA).
Beliau menceritakan perjalanan hidupnya bermula sebagai pelajar sehingga kembali berkhidmat sebagai pengetua sekolah tersebut.
Menurutnya, SMSA bukan sahaja melahirkan ramai pelajar cemerlang, malah menjadi antara institusi pendidikan berprestasi tinggi di negeri Kedah.
Dato’ Nasriah juga terus aktif memelihara sejarah dan legasi sekolah melalui penglibatannya dalam persatuan alumni yang berperanan menghubungkan generasi terdahulu dan masa kini dengan sejarah panjang institusi tersebut.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai sejarah, warisan dan nilai penting Istana Sepachendera sebagai salah satu khazanah bersejarah negeri Kedah, di samping meningkatkan pemahaman tentang kepentingan pemeliharaan warisan dalam konteks pelancongan dan pendidikan masa kini.
Dr. Amirul Husni berkata, usaha seperti ini diharapkan dapat menjadi langkah awal untuk mengangkat semula Istana Sepachendera agar terus dikenali, dihargai dan dipelihara sebagai warisan berharga negeri Kedah untuk generasi akan datang.
Penganjuran “Royal Heritage Experience (RHE): A Day at Istana Sepachendera 2026” berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan warisan serta memperlihatkan komitmen generasi muda dalam menghargai dan memartabatkan khazanah sejarah negeri Kedah.



