Pensyarah SQS dijemput sebagai Pakar Rujuk Statistik oleh Universitas Negeri Jakarta, Indonesia
Gambar Bu Etidwiwira
SINTOK, 8 Jun 2026: Felo di Institut Pemodelan Keputusan Industri Strategik (ISIDM), Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid telah dijemput sebagai pakar rujuk untuk berkongsi kepakaran dalam program Kem Penyelidikan Siri ke-4 (Research Camp #4) anjuran Sekolah Pascasarjana, Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Indonesia, baru-baru ini.

Sesi perkongsian kepakaran dan ilmu yang berlangsung secara dalam talian tersebut menghimpunkan pelajar pascasiswazah, penyelidik muda dan ahli akademik dari pelbagai bidang untuk memperkukuhkan kefahaman terhadap metodologi penyelidikan dan perkembangan semasa dalam bidang sains data serta analisis statistik.
Dalam sesi bertajuk “LDA vs Location Model: What Every Young Researchers (Postgraduate) Should Know About Statistical Classification”, Dr. Hashibah berkongsi pengetahuan berkaitan dua pendekatan penting dalam klasifikasi statistik, iaitu Linear Discriminant Analysis (LDA) dan Location Model.
Perkongsian tersebut memberi penekanan kepada asas teori, andaian model, kekuatan dan keterbatasan setiap pendekatan serta kesesuaiannya dalam mengendalikan data campuran selanjar dan kategori yang sering ditemui dalam penyelidikan moden.
Selain membincangkan aspek metodologi, sesi tersebut turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai aplikasi klasifikasi statistik dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, kewangan, pendidikan dan sains sosial.

Perkongsian ini juga bertujuan membantu penyelidik pascasiswazah membuat pemilihan kaedah yang lebih tepat dalam menjalankan analisis data dan membangunkan penyelidikan berasaskan klasifikasi.
Jemputan ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepakaran Dr. Hashibah dalam bidang statistik, khususnya dalam pembangunan model klasifikasi bagi data campuran (mixed-variable classification).
Beliau aktif menerbitkan hasil penyelidikan dan menyelia pelajar pascasiswazah dalam bidang klasifikasi statistik, analisis multivariat dan pembangunan model statistik yang relevan dengan keperluan penyelidikan semasa.

Pengiktirafan sebagai pakar rujuk dalam program akademik antarabangsa seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia, malah turut menyumbang kepada usaha memperluas pemindahan ilmu, pembangunan kapasiti penyelidik muda serta pengantarabangsaan Universiti Utara Malaysia di peringkat serantau dan global.
Terima kasih diucapkan kepada Universitas Negeri Jakarta di atas pengiktirafan kepada Dr. Hashibah bagi sumbangan berterusan beliau dalam memperkasakan bidang statistik serta pembangunan penyelidikan akademik di peringkat antarabangsa. – Prof. Madya Dr. Hashibah Hamid



