Education

‘Di Sebalik Hutan’ kupas realiti rimbawan dan kepentingan keselamatan aktiviti rekreasi

Gambar Jabatan Perhutanan Negeri Perlis

PERLIS, 11 Jun 2026: Dalam usaha menyemai kesedaran mendalam terhadap pemeliharaan khazanah alam serta keselamatan beraktiviti di kawasan hutan, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah menganjurkan sesi perkongsian ilmu khas bertajuk “Di Sebalik Hutan: Pengalaman dan Realiti Kehidupan Seorang Rimbawan”.

Program bersempena sambutan Nakawan Rainforest Festival dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2026 ini telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini di Nakawan Glamping, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat.

Sesi interaktif berkenaan menampilkan tiga panel jemputan khas iaitu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia, Mohamad Khairi Mohamad @ Alwi; Ketua Cawangan Latihan & Pengambilan Rejimen 504 Askar Wataniah, Mejar Ahmad Fauzi Johari dan Pengawas Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Ramli Mat Hashim.

Dalam sesi tersebut, Mohamad Khairi telah berkongsi kepakaran dan pengalamannya mengenai standard industri serta amalan terbaik yang perlu dipatuhi oleh orang awam sebelum dan semasa memasuki hutan bagi tujuan rekreasi.

Menurutnya, persiapan rapi yang merangkumi aspek fizikal, mental, perancangan awal, pemahaman terhadap aspek geografi kawasan, sistem navigasi, cuaca setempat, pengoperasian aktiviti serta pematuhan ketat terhadap garis panduan keselamatan pihak berkuasa adalah kunci utama bagi meminimumkan risiko kemalangan di kawasan hutan.

Selain perkongsian mengenai teknik ikhtiar hidup (survival), beliau juga turut menyampaikan kesedaran dan peringatan tegas kepada komuniti setempat serta =penggiat aktiviti luar agar sentiasa menjaga keselamatan dan berwaspada ketika melakukan aktiviti, khususnya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini di Bukit Changkat Asa dan Gunung Batu Puteh daripada berulang. – Aida Rasyidah Ahmad Muaen

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button