Education

CUIC adakan sesi libat urus bersama Dr. Vijayaindiaran tentang pelantikan Ahli MPUI UUM

Berita dan gambar Dr.  Zuliana Azwa Zulkifli

GEORGETOWN, 11 Jun 2026: Pusat Kerjasama Universiti–Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan sesi perbincangan lanjutan bersama Pengurus Besar Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Dato’ Dr. Vijayaindiaran Viswalingam bagi membincangkan cadangan pelantikan beliau sebagai Ahli Majlis Penasihatan Universiti–Industri (MPUI) UUM bagi sesi 2026/2027.

CUIC yang diwakili Pengarah, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, sesi perbincangan ini merupakan kesinambungan usaha berterusan UUM untuk memperkukuh penglibatan tokoh industri dalam memberi inspirasi serta menyumbang kepada pemerkasaan sektor strategik negara menerusi ekosistem pendidikan tinggi.

Pelantikan Dr. Vijayaindiaran sebagai ahli MPUI dijangka dapat menyumbang kepakaran serta pandangan strategik khususnya dalam bidang pengurusan pelabuhan, logistik, perdagangan dan pembangunan industri maritim yang semakin penting dalam mendepani cabaran ekonomi global.

Melalui penglibatan pemimpin industri berpengalaman seperti beliau yang juga merupakan Alumni UUM, diharap dapat memperluaskan peluang kerjasama strategic university-industri serta memastikan program akademik dan penyelidikan yang dilaksanakan sentiasa relevan dengan keperluan semasa industri dan negara.

Perjumpaan itu turut membincangkan potensi kerjasama universiti–industri dalam bidang pembangunan bakat, latihan industri, penglibatan pakar industri dalam pengajaran, penyelidikan berasaskan keperluan industri serta program sangkutan akademik.

Dr. Vijayaindiaran turut berkongsi pandangan mengenai peluang penempatan pelajar dalam ekosistem pelabuhan dan logistik yang lebih luas melalui rangkaian syarikat berkaitan industri pelabuhan, selain membincangkan potensi penyelidikan berimpak yang memberi manfaat kepada industri, termasuk kajian berkaitan masa depan perkhidmatan feri Pulau Pinang dalam konteks pembangunan LRT Mutiara.

SPPP juga mencadangkan agar program perkongsian ilmu dan wacana industri diterjemahkan kepada penerbitan akademik atau profesional yang dapat memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak, malah turut dibincangkan tentang cadangan penajaan anugerah akademik berkaitan bidang pelabuhan dan logistik pada masa hadapan sebagai usaha menggalakkan penyelidikan berkualiti dalam bidang yang berkaitan.

Sesi pertemuan selama dua jam ini turut disertai oleh Penyelaras Latihan Industri, UUM COLGIS, Dr. Zuliana Azwa Zulkifli dan juga Pengurus Khidmat Pengurusan dan Kewangan, SPPP, Mohamad Safri Halim dan Pengurus Kanan Korporat, SPPP, Maryati Ramli yang juga merupakan alumni UUM kini menyumbang kepakaran mereka dalam sektor pelabuhan dan logistik negara.

Sesi tersebut mencerminkan komitmen berterusan UUM dan SPPP dalam memperkukuhkan hubungan universiti–industri melalui perkongsian kepakaran, pembangunan bakat dan penyelidikan yang memberi impak kepada sektor pelabuhan dan logistik negara.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button