UUM perkukuh kesiapsiagaan menghadapi Audit Bertema MQA
Gambar Izlawati Ismail
SINTOK, 11 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan kesiapsiagaan bagi menghadapi Audit Bertema MQA: Area 5 Dokumen Internal Quality Assurance Framework (IQAF) melalui penganjuran Sesi Bimbingan dan Persediaan Bersama Auditee yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Canselori, Isnin lalu.
Pengarah Pusat Swaakreditasi, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud berkata, inisiatif ini dilaksanakan sebagai langkah proaktif universiti dalam mendepani Audit Bertema oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang dijadualkan berlangsung antara bulan Jun atau Julai 2026.

Menurutnya, fokus utama sesi bimbingan tersebut adalah untuk menyelaraskan kefahaman auditee terhadap keperluan Area 5 dokumen IQAF serta memastikan persediaan dokumentasi berada pada tahap optimum.
Kehadiran Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani mencerminkan komitmen jitu pengurusan tertinggi universiti dalam mendukung sistem jaminan kualiti dalaman selaras dengan status UUM sebagai IPTA berstatus swaakreditasi.
Sesi bimbingan tersebut dikendalikan oleh Prof. Dr. Sany Sanuri Mohd. Mokhtar selaku moderator yang memudah cara sesi bedah dokumen serta perkongsian panduan teknikal yang kritikal bagi persiapan audit berkenaan.
Status swaakreditasi yang dipegang UUM menuntut komitmen berterusan terhadap penilaian pematuhan yang akan dijalankan oleh MQA sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun atau mengikut keperluan semasa pihak agensi.

Melalui persediaan rapi ini, UUM bertekad untuk memastikan sistem jaminan kualiti dalaman sentiasa relevan, berkesan dan menyokong budaya penambahbaikan berterusan.
Sesi tersebut melibatkan penyertaan strategik dari pusat tanggungjawab dan entiti penting iaitu Pusat Perancangan Dasar & Kecemerlangan Akademik (CAEP), Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), Pusat Pengurusan Kualiti dan Akreditasi (PPQA) serta Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK), UUM.
Turut hadir ialah wakil daripada Pejabat Penolong Naib Canselor (PNC) bagi kolej-kolej akademik (COLGIS, CAS, COB) serta Ahli Jawatankuasa Akreditasi (JAU), UUM. – Rohani Abdullah



