TECHSAMANA teroka kolaborasi bersama SOC UUM dalam pemerkasaan bakat dan inovasi digital
Berita dan gambar Ts. Dr. Mohamed Ali Saip
SINTOK, 14 Jun 2026: Usaha merapatkan hubungan antara institusi akademik dan komuniti profesional terus diperkukuhkan apabila Persatuan Profesional Sains dan Teknologi (TECHSAMANA) mengadakan kunjungan hormat ke Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.
Delegasi TECHSAMANA yang diketuai oleh Pengerusinya, Ts. Azril Hanafi Abdullah Sharwani telah disambut oleh pihak SOC yang diwakili oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Fazli Azzali.

Dr. Fazli berkata, pertemuan tersebut menjadi wadah penting dalam memperluaskan jaringan antara universiti dan industri bagi memperkasakan modal insan yang berdaya saing serta memenuhi keperluan sektor digital negara.
“Hubungan seperti ini mampu memberi nilai tambah kepada mahasiswa melalui pendedahan kepada perkembangan semasa, pemahaman terhadap kehendak pasaran pekerjaan dan peluang membina rangkaian profesional yang dapat membantu mereka pada masa hadapan,” katanya.
TECHSAMANA merupakan sebuah komuniti yang menghimpunkan penggiat sains, teknologi dan inovasi serta berperanan menghubungkan pelbagai pihak dalam usaha memajukan pembangunan berasaskan pengetahuan dan kepakaran tempatan.

Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai inisiatif yang berpotensi dilaksanakan meliputi program pengembangan kompetensi, perkongsian kepakaran, pertandingan inovasi, projek bersama serta usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Perbincangan turut menyentuh usaha memperluas penglibatan mahasiswa dalam meneroka bidang yang sedang berkembang pesat seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, pembangunan aplikasi, sistem tanpa pemandu dan transformasi digital.
Penglibatan Persatuan Pelajar SOC (i-Tech) dalam pertemuan ini dilihat sebagai langkah positif bagi memastikan aspirasi mahasiswa dapat disejajarkan dengan keperluan industri sekali gus mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik dan relevan.
Pihak TECHSAMANA menyambut baik hasrat SOC dan menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepakaran serta menjadi rakan industri dalam pelbagai program yang memberi manfaat kepada mahasiswa dan komuniti setempat.

Sinergi yang terjalin menerusi kunjungan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua pihak untuk melaksanakan aktiviti berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti, penghasilan inovasi bernilai serta pengukuhan ekosistem digital negara.
Turut hadir dalam sesi pertemuan tersebut ialah pensyarah SOC dan wakil Persatuan Pelajar SOC (i-Tech) yang diketuai oleh Presidennya, Muhammad Addary Nadzri bersama ahli jawatankuasa persatuan.



