Campus

Lawatan dan Bengkel Hala tuju Kampus Inklusif Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) perkasa usaha UUM ke arah kampus inklusif

Berita dan gambar Mohamad Khairul Hafiz Saidin

SINTOK, 14 Jun 2026: Social Security Management Centre of Excellence (SOSCoE), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Lawatan dan Bengkel Hala tuju Kampus Inklusif Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Jun lalu bertempat di Bilik Roupellia, EDC-UUM.

Program ini menghimpunkan pelbagai pusat tanggungjawab (PTJ) UUM bersama wakil Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membincangkan strategi memperkukuhkan pengurusan hilang upaya serta memperkasakan agenda kampus inklusif yang mesra OKU.

Felo SOSCoE, Dr. Annuar Aswan Mohd Noor berkata, penganjuran bengkel ini selari dengan aspirasi kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menekankan prinsip keterangkuman dan kesejahteraan sosial termasuk inisiatif kerajaan yang membolehkan pelajar OKU mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi awam tanpa dikenakan yuran pengajian, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan kepada golongan tersebut.

Seiring dengan hasrat tersebut, menurutnya, UUM terus komited memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif, mudah diakses dan inklusif untuk semua warga kampus.

“Antara objektif utama bengkel ini adalah untuk melibatkan PTJ yang berkaitan dalam memperkasakan pengurusan hilang upaya dalam kalangan pelajar dan pekerja, memperoleh idea serta perkongsian kemahiran daripada PERKESO dalam usaha mencapai kampus inklusif OKU, menyatupadukan integrasi antara PTJ dalam menguruskan keperluan OKU, serta memperkukuhkan sinergi antara hal ehwal akademik, hal ehwal pelajar, pembangunan infrastruktur dan kebajikan warga kampus.

“Selain itu, bengkel ini turut menjadi platform untuk mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan daripada pihak PERKESO berkaitan kemudahan dan infrastruktur sedia ada serta yang bakal dibangunkan bagi memenuhi keperluan golongan OKU,” katanya.

Sesi lawatan turut diadakan ke beberapa lokasi utama kampus termasuk Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Inapan Siswa (Inasis) PERODUA dan TM, dewan-dewan kuliah serta Pusat U-Assist UUM bagi menilai tahap aksesibiliti dan kesediaan kemudahan untuk warga OKU.

Program ini melibatkan penyertaan wakil PERKESO Putrajaya daripada Cawangan Pengurusan Hilang Upaya yang diketuai oleh Emy Baizura Azrin Mohamed Hakke bersama Nur Fazira Kamaludin dan Normanizam Hamzah serta Ketua Negeri Pengurusan Hilang Upaya Kedah dan Perlis, Syafarina Othman.

Selain itu, bengkel turut disertai oleh wakil Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), Jabatan Sumber Manusia (JSM), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Perpustakaan Sultanah Bahiyah (PSB), Pusat Kesihatan Universiti serta pensyarah-pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang OKU.

Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen berterusan UUM dalam memperkasakan budaya kampus yang inklusif, prihatin dan mesra OKU, selaras dengan agenda pembangunan insan serta pendidikan tinggi yang mampan dan berteraskan prinsip “Leaving No One Behind”.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button