Campus

Lawatan turun padang Ketua Pengarah LPNM pacu inovasi dan pembangunan industri nanas negara

Gambar LPNM dan SEFB

SINTOK, 14 Jun 2026: Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M. Salleh bersama lapan pegawai kanan LPNM telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi meninjau perkembangan penyelidikan dan inovasi berkaitan industri nanas yang sedang giat dilaksanakan.

Ketibaan delegasi LPNM telah disambut oleh Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid serta Penyelidik Utama Projek Industri Hiliran Nanas SEFB-UUM, Dr. Hartinee Abbas.

Sepanjang lawatan tersebut, Ketua Pengarah LPNM telah diberikan taklimat berhubung hasil penyelidikan tanaman nanas yang dijalankan oleh UUM termasuk inovasi dan teknologi terkini yang dibangunkan bagi meningkatkan produktiviti serta kualiti pengeluaran nanas negara.

Beliau turut melahirkan rasa kagum terhadap pencapaian penyelidikan yang telah berjaya dihasilkan oleh pasukan penyelidik UUM.

Delegasi seterusnya dibawa melawat ladang nanas di Agro Farm UUM bagi melihat sendiri perkembangan tanaman serta teknologi yang diaplikasikan. Malah, beliau turut berpeluang merasai sendiri buah nanas yang dihasilkan melalui kaedah penyelidikan tersebut.

Mohd Khairuzamri berkata, beliau amat kagum dengan usaha penyelidikan yang dilaksanakan oleh UUM serta penggunaan teknologi yang membolehkan buah nanas dituai dalam tempoh hanya 10 bulan.

Sementara itu, Dr. Rasidah turut menzahirkan penghargaan atas kesudian pihak LPNM mengadakan lawatan ke UUM dan menyatakan komitmen SEFB untuk memperkukuhkan kerjasama strategik yang telah terjalin.

Beliau berkata, kerjasama antara UUM dan LPNM akan terus dipertingkatkan melalui pelbagai inisiatif bersama seperti penganjuran seminar, program pemindahan ilmu, penyelidikan berimpak tinggi serta projek-projek kolaboratif yang mampu memberi manfaat kepada industri dan masyarakat.

Lawatan ini membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan, inovasi dan pembangunan industri nanas negara selaras dengan aspirasi memperkasakan sektor agromakanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara. – M. Khairy Mukhtaruddin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button