TISSA-UUM bantu perkukuh pengurusan kewangan dan aset Pusat Tahfiz melalui aplikasi digital
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Hazeline Ayoup
SINTOK, 14 Jun 2026: Institut Kajian Strategik dan Perakaunan Mampan (ISSAD), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM) telah menganjurkan Bengkel Aplikasi Pengurusan Akaun, Aset dan Geran Pembangunan JAKIM kepada 20 pengelola pusat tahfiz di Negeri Kedah bagi memperkukuhkan pengurusan kewangan dan seterusnya meningkatkan kredibiliti institusi tahfiz di mata umum.
Wakil Dekan TISSA-UUM, Dr. Safrul Izani Mohd Salleh berkata, melalui bengkel yang dianjurkan dengan kolaborasi bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan Persatuan Maahad Tahfiz Negeri Kedah (PETANDA) ini, peserta didedahkan kepada sistem pengurusan akaun dan aset secara sistematik yang mesra pengguna dan mampu menghasilkan pelaporan kewangan yang bertepatan dengan keperluan institusi tahfiz.

Menariknya, sistem yang dinamakan sebagai Tahfiz Asset Management Systems (TAMS) ini merupakan sistem yang dibangunkan bersama oleh staf akademik dan pelajar TISSA-UUM.
Peserta, Rokiah Abdullah berkata, aplikasi ini telah memberi semangat kepadanya untuk menyediakan pengurusan akaun dan aset dengan lebih baik.
“Sebelum ini, saya telah didedahkan tentang pengurusan kewangan dan sebagainya, tetapi hari ini saya betul-betul memahami cara yang lebih praktikal dan mudah untuk menguruskan sistem kewangan pusat tahfiz saya,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, JHEAIK, Hasbullah Md Mukhtar turut teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh peserta.
Beliau berpandangan bahawa perkongsian ilmu seperti ini perlu diperluaskan kepada semua institusi tahfiz di negeri Kedah bagi meningkatkan kredibiliti pelaporan kewangan, pematuhan dan seterusnya reputasi institusi tahfiz seluruhnya.
Program ini dikendalikan oleh Tuan Haji Md Suhaimi bin Md Saleh dan Tuan Haji Mohamad Sharofi bin Haji Ismail sebagai penceramah, dan dibantu oleh Puan Hajah Noor Asma binti Jamaluddin, Prof. Dr. Natrah binti Saad dan Prof. Dr. Siti Zabedah binti Haji Saidin sebagai fasilitator.



