SCIMPA UUM angkat warisan makanan tradisional melalui Malaysian Cultural Roadshow: Reviving Forgotten Flavors
Berita dan gambar Dr. Siti Irna Mustajap
SINTOK, 14 Jun 2026: Program Malaysian Cultural Roadshow: Reviving Forgotten Flavors merupakan projek akhir bagi kursus Malaysian Cultural Communication and Arts Appreciation telah berlangsung dengan meriah di Ruang CIA Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA).
Program yang berkonsepkan apresiasi budaya dan seni ini berjaya mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila lebih daripada 270 pelajar hadir serta terlibat dalam pelbagai aktiviti yang disediakan bukan sahaja menceriakan suasana program, malah membuktikan bahawa warisan makanan tradisional Malaysia masih mendapat tempat istimewa dalam kalangan generasi muda.

Bertemakan “Reviving Forgotten Flavors”, program ini mengetengahkan keunikan makanan tradisional Malaysia melalui pendekatan yang lebih segar, kreatif dan inovatif. Antara aktiviti yang berjaya menarik perhatian pengunjung ialah pameran masakan secara langsung, persembahan inovasi makanan tradisional, sesi merasa makanan dan sesi penilaian serta pengalaman budaya yang menggabungkan elemen seni, kreativiti dan warisan tempatan.
Program ini dimeriahkan dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi SCIMPA UUM iaitu Dekan SCIMPA, Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Syamsul Hirdi Muhid; Pengarah CACE SCIMPA, Dr. Muhammad Fitri Yusof serta pensyarah SCIMPA UUM.
Turut hadir ialah pensyarah bagi kursus tersebut, iaitu Penyelaras Kursus, Dr. Hushinaidi Abdul Hamid bersama-sama Dr. Siti Irna Mustajap dan Nur Fatin binti Zolkifle yang membantu pelajar merancang dan melaksanakan program ini dengan penuh komitmen, kreativiti serta semangat kerja berpasukan.

Dekan Dr. Ruzinoor berpendapat bahawa program seperti ini wajar diteruskan pada masa hadapan kerana berupaya memperkenalkan dan mempromosikan kebudayaan Malaysia kepada masyarakat yang lebih luas.
Beliau turut mencadangkan agar penganjuran program akan datang melibatkan penyertaan masyarakat luar serta pelajar antarabangsa, termasuk pelajar PhD dari negara China agar mereka berpeluang merasai dan memahami keunikan warisan serta kebudayaan Malaysia.
“Kita juga menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen, kerjasama dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelajar dalam menjayakan program ini yang bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran pengurusan acara, komunikasi dan kreativiti, malah turut memupuk rasa cinta serta penghargaan terhadap warisan budaya negara.
“Usaha para pelajar ini wajar dipuji kerana mereka berjaya membuktikan bahawa makanan tradisional bukan sekadar sajian, tetapi juga merupakan sebahagian daripada identiti, sejarah dan khazanah budaya Malaysia yang perlu terus dipelihara serta diperkenalkan kepada generasi akan datang,” katanya.

Program ini turut mencerminkan aspirasi SCIMPA UUM dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan dan kreatif, malah mampu bekerjasama secara profesional dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang memberikan impak positif kepada komuniti kampus.
Sementara itu, Dr. Syamsul Hirdi menyatakan bahawa beliau berasa teruja melihat kejayaan penganjuran program tersebut dan memuji kesungguhan pelajar yang telah bertungkus-lumus membuat persiapan bagi memastikan setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar.
Menurutnya, makanan tradisional yang dipersembahkan bukan sahaja berjaya menarik perhatian pengunjung, malah mempunyai cita rasa yang sangat sedap.

Program ini membuktikan bahawa makanan tradisional bukan sekadar sajian, tetapi merupakan warisan budaya yang perlu terus dihargai, dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi akan datang.
SCIMPA UUM berharap penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan dengan skala yang lebih besar, melibatkan komuniti luar serta pelajar antarabangsa agar keunikan budaya Malaysia dapat dikongsi dengan lebih meluas.



