General

Penyelidik UUM terima pengiktirafan nasional melalui Pelancaran Animasi dan Komik Integriti Kanak-Kanak

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir

PUTRAJAYA, 15 Jun 2026: Hasil penyelidikan dan inovasi pendidikan integriti yang diterajui oleh penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pengiktirafan di peringkat nasional apabila animasi dan buku komik kanak-kanak bertajuk “Harga Sebuah Kejujuran” dilancarkan bersempena Majlis Sambutan Hari Pendidik KEMAS 2026 di Dewan Seri Lestari, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Projek yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), UUM dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Modul Integrity Edukid yang bertujuan memupuk nilai integriti dalam kalangan kanak-kanak sejak usia awal.

Buku komik “Harga Sebuah Kejujuran” dibangunkan melalui Geran Penyelidikan SPRM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir dari UUM bersama pasukan penyelidik UUM iaitu Prof. Madya Dr Norruzeyati Che Mohd Nasir dan Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail) serta penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Hasil penyelidikan tersebut kemudiannya diadaptasi oleh Unit Komunikasi Korporat KEMAS secara dalaman (in-house) kepada animasi digital berdurasi enam minit bagi memperluas impak penyampaian mesej integriti kepada generasi muda.

Animasi berkenaan menampilkan watak Aurora dan Kapten MACC yang kini diangkat sebagai ikon rasmi bahan bantu mengajar di TASKA dan TABIKA KEMAS seluruh negara.

Simbolik penyerahan buku komik telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri I merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengiktirafan terhadap usaha kolaboratif pelbagai pihak dalam memperkukuh pendidikan integriti negara.

Dr. Mohd Azrin berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa hasil penyelidikan universiti mampu diterjemahkan kepada produk pendidikan yang memberi impak langsung kepada masyarakat serta menyokong agenda nasional pembinaan sahsiah dan integriti.

“Penyelidikan tidak seharusnya terhenti pada penerbitan akademik semata-mata. Sebaliknya, hasil kajian perlu diterjemahkan kepada bahan yang mudah difahami dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam membentuk generasi yang berintegriti,” katanya.

Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028 yang menekankan usaha pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah secara menyeluruh bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak.

Lebih membanggakan, gabungan buku komik dan animasi tersebut kini telah diterima pakai sebagai sebahagian daripada Bahan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) rasmi KEMAS dan akan digunakan di 10,538 buah TABIKA KEMAS di seluruh negara.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan keupayaan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka negara dalam menyumbang kepakaran penyelidikan yang relevan kepada pembangunan masyarakat serta menyokong agenda nasional dalam melahirkan generasi berintegriti, beretika dan bertanggungjawab.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button