Dr. Jau dikenang sebagai pendidik yang dedikasi, profesional dan komited
Gambar Wan Mohamad Kamil Wan Salim
SINTOK, 15 Jun 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) sekali lagi telah menganjurkan satu majlis ringkas yang penuh bermakna, kali ini untuk menghormati Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsuddin atau mesra disapa Dr. Jau sebagai tanda penghargaan atas segala jasa dan sumbangannya sepanjang berkhidmat di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Majlis yang sarat dengan emosi ini menjadi lambang perpisahan yang penuh kasih sayang buat seorang pendidik yang dedikasi, profesional, dan komited terhadap kecemerlangan akademik. Rakan-rakan sejawat dan warga SBM berkumpul untuk meraikan jasa Dr. Jau, mengenang detik-detik indah, serta menyatakan penghargaan terhadap legasi yang ditinggalkan.

Sesi Cap Jari Terakhir: Lambang Perpisahan Yang Sarat Makna
Majlis bermula pada pukul 10.00 pagi di ruang legar bangunan SBM dengan Sesi Cap Jari Terakhir Dr. Jau. Suasana terasa sayu namun penuh penghormatan apabila Dr. Jau buat kali terakhirnya meletakan jarinya pada mesin sistem kehadiran universiti.
Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad bersama barisan kepimpinan, pensyarah dan staf pentadbiran, hadir meraikan majis ini serta menyampaikan ucapan selamat dan doa buat Dr. Jau. Walaupun ringkas, sesi ini membawa maksud yang sangat mendalam kerana ia menandakan berakhirnya satu era perkhidmatan Dr. Jau yang penuh makna, serta permulaan fasa baharu dalam hidupnya sebagai pesara.
Kata-kata Perpisahan Dan Permohonan Maaf
Antara detik yang paling menyentuh hati ialah ketika ucapan perpisahan daripada Dr. Jau sendiri.
Beliau meluahkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada UUM serta seluruh warga SBM atas segala pengalaman, sokongan, dan kerjasama yang beliau terima sepanjang bergelar pensyarah.

“Saya membawa pergi seribu kenangan indah bersama semua. Setiap saat di sini adalah anugerah yang tidak ternilai,” kata Dr. Jau dengan nada sayu namun penuh redha.
Dalam ucapannya juga, Dr. Jau sempat menyelitkan nasihat buat generasi muda pensyarah agar terus istiqamah dalam mendidik, menjaga amanah ilmu, dan sentiasa bersikap rendah hati.
Turut diucapkan ribuan terima kasih buat Dekan SBM dan barisan kepimpinan fakulti yang sentiasa memberi sokongan dalam meraikan insan berjasa seperti Dr. Jau. Penghargaan juga buat semua yang hadir memeriahkan majlis tersebut, menjadikan malam perpisahan itu begitu istimewa dan bermakna.
Sebagai kenang-kenangan, cenderahati dan hadiah perpisahan disampaikan kepada Dr. Jau sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti beliau sepanjang berada di UUM.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama Dr. Jau, merakamkan saat-saat penuh emosi, senyuman, dan kenangan yang pasti akan terpahat di hati semua yang hadir.
Legasi Yang Terus Hidup
Walaupun Dr. Jau kini telah melangkah ke alam persaraan, namun segala jasa, ilmu, dan didikannya akan terus kekal dalam ingatan warga SBM. Dedikasi beliau dalam pengajaran, bimbingan, dan pembentukan insan telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap institusi serta menginspirasi ramai anak didik dan rakan sejawat.
Seluruh warga SBM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Profesor Madya Dr. Jauriyah Shamsuddin dan mendoakan agar Dr. Jau sentiasa diberi kesihatan yang baik, ketenangan jiwa, dan kebahagiaan di sisi keluarga tercinta. – Dr. Luqman Mahmud



