IBS UUM anjur Siri Syarahan Antarabangsa bersama akademik UNESA Indonesia
Gambar IBS dan UNESA
SINTOK, 15 Jun 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan International Guest Lecture Series 2026 yang menampilkan dua ahli akademik dari Fakulti Ekonomika dan Bisnis, Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Indonesia.

Program yang berlangsung di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 3/4 dan DKG 3/5 ini bertujuan memperkukuhkan jaringan akademik antarabangsa serta memperkaya perkongsian ilmu dalam bidang ekonomi Islam, wakaf, keusahawanan dan pembangunan lestari.
Sesi pertama disampaikan oleh Dr. Ramdani bersama moderator, Dr. Muhamad Abrar Bahaman menerusi syarahan bertajuk “Why Don’t Indonesia’s Millennials Give Cash Waqf? Rethinking the Digital Philanthropy Puzzle” yang membincangkan cabaran dan potensi wakaf tunai dalam kalangan generasi muda Indonesia, khususnya dalam era transformasi digital yang semakin pesat.
Pada sebelah petang, Dr. Muhamad Fikri Aziz mengendalikan sesi Dr. Sri Abidah Suryaningsih yang menyampaikan syarahan bertajuk “Bridging Faith and Sustainability: The Role of Entrepreneurial Religiosity and Halal Certification in Enhancing MSME Performance and SDGs Contribution” yang mengetengahkan dapatan penyelidikan berkaitan peranan religiositi usahawan dan pensijilan halal dalam meningkatkan prestasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) serta sumbangannya terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar IBS, UUM yang hadir bagi mengikuti perkongsian ilmu serta sesi soal jawab bersama kedua-dua penceramah.

Pelbagai isu semasa berkaitan wakaf digital, pensijilan halal, pembangunan keusahawanan dan kelestarian telah dibincangkan secara kritis, sekali gus memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai perkembangan penyelidikan dan amalan semasa dalam bidang ekonomi Islam.
Penganjuran International Guest Lecture Series 2026 mencerminkan komitmen IBS UUM dalam memperkukuhkan budaya penyelidikan, memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa serta menyokong agenda pengantarabangsaan universiti.
Program sebegini turut membuka ruang kepada pelajar untuk memperoleh perspektif global terhadap isu-isu kontemporari yang berkaitan dengan ekonomi Islam dan pembangunan mampan. – Dr. Muhamad Fikri Aziz



