Education

43 pelajar UUM sertai Penang Career Discovery Day 2026

Gambar Nur Alisya Binti Ahmad Tarmizi

PULAU PINANG, 16 Jun 2026: Seramai 43 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil bahagian dalam Penang Career Discovery Day 2026 (PCDD 2026) yang berlangsung di St. Giles Wembley Hotel, Georgetown, baru-baru ini.

Rombongan pelajar tersebut diringi oleh Dr. Zarul Khaliff Kamal dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), UUM selaku pengiring rasmi sepanjang program berlangsung.

Acara bertemakan “FutureForge: Connecting Talent, Intelligence & Industry” itu merupakan edisi kelima anjuran InvestPenang dengan sokongan Penang Silicon Design @5km+ dan Penang GBS Focus Group.

Majlis perasmian acara ini telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang hadir menyampaikan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap usaha menghubungkan bakat akademik dengan keperluan industri semasa.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Chow menekankan kepentingan mempersiapkan graduan tempatan dengan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran ekonomi digital dan revolusi teknologi yang sedang melanda dunia pekerjaan global.

Beliau turut menyeru syarikat-syarikat industri untuk terus melabur dalam pembangunan modal insan negara melalui platform seperti PCDD.

Acara ini membuka ruang luas kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan syarikat-syarikat terkemuka dalam sektor Global Business Services (GBS)/Shared Services, Teknologi Maklumat (IT), Perisian, Penyelidikan & Pembangunan (R&D), Reka Bentuk & Pembangunan (D&D), Reka Bentuk IC, Kecerdasan Buatan (AI) & Teknologi, serta Ekonomi Digital dan merupakan sektor-sektor yang bakal menjadi tonggak utama pasaran pekerjaan masa hadapan.

Antara daya tarikan utama acara ini ialah AI Demo Station, di mana syarikat-syarikat peserta mempamerkan aplikasi kecerdasan buatan, teknologi terkini serta inovasi mereka secara langsung kepada graduan.

Dr. Zarul Khaliff berkata, platform interaktif ini memberi peluang kepada pelajar untuk menyaksikan sendiri bagaimana teknologi AI diaplikasikan dalam persekitaran kerja sebenar, sekali gus menghilangkan jurang antara teori akademik dengan amalan industri.

Pameran kerjaya berprofil tinggi ini turut menjadi wadah bagi majikan memperkukuhkan jenama majikan (employer branding) mereka dalam kalangan bakat-bakat muda negara, selain membuka peluang pengambilan graduan yang bersedia untuk berkhidmat serta menyumbang secara segera.

Bagi pelajar UUM yang hadir, pengalaman ini merupakan peluang berharga untuk meneroka landskap industri semasa dari dekat, menjalin rangkaian profesional awal dengan wakil-wakil syarikat bertaraf antarabangsa, serta mendapatkan gambaran nyata tentang halatuju kerjaya dalam sektor kewangan digital, perkhidmatan berkongsi, serta teknologi kewangan (fintech). –  Dr. Zarul Khaliff Kamal

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button