SAPSP UUM perkukuh jaringan alumni pascasiswazah di Kuching, Sarawak
Gambar Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad
KUCHING, 16 Jun 2026: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Meet & Greet Pelajar Pascasiswazah SAPSP dan Alumni Chapter Kuching, Sarawak bertempat di Merdeka Palace Hotel, Kuching.
Program ini menghimpunkan pelajar pascasiswazah SAPSP dan alumni pascasiswazah UUM Chapter Kuching dalam suasana yang penuh mesra dan harmoni.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat yang terdiri daripada Dekan Awang Had Salleh Graduate School (AHSGS), Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar; Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Polis Saifullizan Ishak dan Penaung Persatuan Alumni UUM Sarawak (AURAS), Datuk Mohamad Morshidi Mustapha dan Pengarah Pusat Alumni, Prof. Madya Dr. Lily Julienti Abu Bakar.
Dr. Zarina berkata, penganjuran program ini bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim, memperluaskan jaringan profesional serta menyediakan platform perkongsian ilmu dan pengalaman antara pelajar dan alumni.
Menurutnya, kehadiran barisan pengurusan universiti dan pensyarah kanan turut mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam menyokong pembangunan akademik serta profesional pelajar pascasiswazah.

Sepanjang program berlangsung, peserta berpeluang berinteraksi secara langsung dengan alumni yang telah berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya.
Sesi perkongsian pengalaman dan perbincangan santai yang diadakan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai cabaran dunia pekerjaan, pembangunan kerjaya serta kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.
Selain menjadi medan untuk mengeratkan hubungan sesama pelajar daripada pelbagai kohort, program ini turut membantu membina rangkaian sokongan yang dapat dimanfaatkan dalam aspek akademik, penyelidikan dan pembangunan profesional pada masa hadapan.
“Penglibatan pelajar daripada Kohort 1 hingga Kohort 4 membuktikan komitmen berterusan warga pascasiswazah SAPSP dalam memupuk semangat kekitaan dan memperkukuhkan hubungan dengan alumni yang sentiasa menjadi rakan strategik universiti.

“Program seperti ini bukan sahaja menghubungkan pelajar dan alumni, malah menjadi platform penting untuk berkongsi pengalaman, membina jaringan profesional serta memperkukuhkan semangat kekeluargaan dalam komuniti SAPSP dan UUM,” katanya.
Program berakhir dengan sesi ramah mesra dan fotografi sebagai simbolik kepada hubungan erat yang terjalin antara pelajar pascasiswazah SAPSP dan alumni UUM di Sarawak, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang berdaya saing serta mempunyai jaringan profesional yang kukuh.
Program ini juga dihadiri oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) SAPSP, Prof. Madya Dr. Mohd Azrin Mohd Nasir dan pensyarah program pascasiswazah SAPSP iaitu Prof. Dr. Noor Azniza Ishak dan Prof. Dr. Jamaludin Mustaffa. – Omar Ibrahim



