Education

Ziarah Kasih keluarga pelajar B40 UUM di Bumi Kenyalang

Berita dan gambar Muhammad Hariz Ahmad

SARAWAK, 16 Jun 2026: Perjalanan hampir 300 kilometer merentasi Lundu, Kota Samarahan, Asajaya dan Kuching bukan sekadar sebuah perjalanan fizikal, tetapi perjalanan hati untuk mendekati insan-insan yang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dalam usaha memastikan kebajikan mahasiswa terus diberi perhatian, Timbalan Naib Caselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri meluangkan masa menyantuni dan menziarahi lima keluarga pelajar B40 UUM di Sarawak.

Setiap kunjungan membawa cerita tersendiri, tentang pengorbanan ibu bapa, perjuangan anak-anak mengejar impian, serta harapan besar yang disandarkan kepada pendidikan.

Di sebalik senyuman para pelajar melalui panggilan video yang dibuat oleh TNCHEPA kepada pelajar di UUM, tersimpan kisah ketabahan. Ada keluarga yang menempuh cabaran hidup dengan penuh kesederhanaan, namun tetap teguh memberikan sokongan agar anak-anak mereka dapat melangkah lebih jauh dalam mengejar cita-cita.

Turut bersama dalam ziarah ini ialah Dekan Hal Ehwal Pelajar, Pengerusi Majlis Pengetua UUM, dan Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) yang bersama-sama berkongsi rasa prihatin dan komitmen untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan universiti.

Turut serta Alumni UUM Sarawak (AURAS) yang juga tampil menyumbang bantuan kepada keluarga pelajar sebagai tanda sokongan dan kasih sayang daripada keluarga alumni UUM.

Ziarah ini bukan hanya membawa bantuan, tetapi membawa mesej bahawa setiap pelajar UUM tidak pernah berjalan sendirian. Universiti sentiasa hadir mendengar, memahami dan menyokong perjalanan mereka menuju kejayaan.

Kerana di sebalik setiap mahasiswa yang berjaya, ada keluarga yang berkorban, ada doa yang tidak pernah putus, dan ada sebuah universiti yang sentiasa mengambil peduli.

Kerana di UUM, mahasiswa bukan sekadar pelajar, mereka adalah keluarga yang sentiasa kita peduli.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button