U-SYNERGY erat hubungan Inasis Bank Islam UUM dan Kolej Kediaman Dalam Kampus UTHM
Gambar Ahli Jawatankuasa Informasi dan Penerbitan Inasis Bank Islam
SINTOK, 16 Jun 2026: Program U-SYNERGY BANK ISLAM: NORTHERN X SOUTHERN yang berlangsung pada 13 hingga 14 Jun lalu berjaya menghimpunkan pelajar Inapan Siswa (Inasis) Bank Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kolej Kediaman Dalam Kampus, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam usaha memperkukuhkan hubungan silaturahim serta membina jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi.
Program anjuran Inasis Bank Islam UUM itu bertujuan mengeratkan hubungan antara pelajar melalui pelbagai aktiviti yang berfokus kepada kepimpinan, perkongsian pengalaman, kebudayaan dan kebajikan.

Pengarah Program, Nur Syafiqah Abdul Mutalip berkata, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk berkenalan, malah membuka ruang kepada mahasiswa kedua-dua kolej kediaman untuk berkongsi pengalaman berkaitan kepimpinan, kebajikan dan pengurusan aktiviti pelajar.
“Kami berharap hubungan yang dibina sepanjang program ini dapat diteruskan melalui lebih banyak kerjasama dan penganjuran aktiviti bersama pada masa hadapan,” katanya.
Seramai 31 pelajar Kolej Kediaman Dalam Kampus UTHM bersama enam pengiring telah tiba di UUM pada 13 Jun dan disambut oleh barisan kepimpinan serta penghuni Inasis Bank Islam.
Program dimulakan dengan aktiviti rekreasi di Bukit Telipong yang melibatkan Kelab Kembara UUM seramai 10 pelajar sebagai petugas pengiring yang membantu mengawal pergerakan dan membimbing peserta sepanjang aktiviti berlangsung. Aktiviti tersebut memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi, membina keserasian serta memupuk semangat kerja berpasukan dalam suasana santai dan mesra.
Selepas aktiviti rekreasi selesai, para peserta kembali ke kampus UUM untuk menghadiri Majlis Perasmian Program U-SYNERGY BANK ISLAM: NORTHERN X SOUTHERN. Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai pengisian interaktif termasuk sesi suai kenal yang melibatkan kepimpinan pelajar dan penghuni Inasis Bank Islam bersama mahasiswa Kolej Kediaman Dalam Kampus UTHM.

Sesi tersebut membuka ruang kepada peserta untuk saling mengenali, bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan kepimpinan pelajar, pengurusan kolej kediaman dan pelaksanaan aktiviti pembangunan mahasiswa. Melalui perkongsian ini, peserta dapat memahami amalan serta pendekatan yang dilaksanakan di institusi masing-masing.
Peserta turut dibawa melawat Dapur Siswa Madani, salah satu inisiatif kebajikan mahasiswa yang dilaksanakan di UUM dengan penglibatan Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inasis Bank Islam dan JKPS Inasis Proton. Dalam lawatan tersebut, peserta diberikan penerangan mengenai operasi Dapur Siswa Madani termasuk proses penghasilan RES-Q Pek menggunakan teknologi pemprosesan retort serta pelaksanaan program Kenduri Siswa yang bertujuan membantu mahasiswa yang memerlukan.
Lawatan itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai pendekatan kebajikan pelajar yang dilaksanakan secara sistematik melalui penyediaan makanan, penggunaan teknologi pemprosesan makanan dan pengurusan bantuan kepada mahasiswa. Inisiatif tersebut turut memperlihatkan bagaimana elemen kebajikan, kesukarelawanan dan inovasi dapat digabungkan bagi menyokong kesejahteraan pelajar di kampus.
Penglibatan JKPS Inasis Proton bersama JKPS Inasis Bank Islam dalam menjayakan inisiatif ini turut mencerminkan semangat kolaborasi dan keprihatinan warga kampus dalam memperkasakan agenda kebajikan pelajar secara mampan.

Bagi mengeratkan lagi hubungan antara peserta, program berkenaan turut dimeriahkan dengan penganjuran Malam Kebudayaan: Malam Langkasuka. Program tersebut menjadi platform untuk meraikan kepelbagaian budaya serta memupuk semangat perpaduan, kekitaan dan saling menghormati dalam kalangan pelajar serta berpeluang mengenali keunikan budaya masing-masing, di samping membina hubungan yang lebih erat dalam suasana harmoni.
Program yang berakhir pada 14 Jun 2026 itu bukan sahaja berjaya memperkukuhkan hubungan antara pelajar kedua-dua kolej kediaman, malah membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik dalam aspek kepimpinan, kebajikan mahasiswa, kebudayaan dan pengurusan program.
Penganjuran U-SYNERGY BANK ISLAM: NORTHERN X SOUTHERN diharapkan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama antara Inasis Bank Islam UUM dan Kolej Kediaman Dalam Kampus UTHM pada masa hadapan.
Program tersebut turut membuktikan bahawa kolej kediaman bukan sekadar menyediakan tempat penginapan kepada mahasiswa, malah berperanan sebagai platform penting dalam pembentukan kepimpinan, pembangunan sahsiah, pengembangan bakat serta pembinaan jaringan sosial yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan pelajar secara menyeluruh. – Dr. Adi Syahid Mohd Ali



