Education

Dari Kampus ke Komuniti: Misi Hijau beri impak positif

Gambar Sanjitha Kumar

JITRA, 21 Jun 2026: Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Generasi Hijau: Masa Depan Lestari” telah berjaya dianjurkan hasil kolaborasi strategik antara Kelab Kewangan dan Perbankan (FABS) dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) dan Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) dari Pusat Pengajian Pendidikan (SOE).

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta memupuk amalan kelestarian dalam kalangan pelajar sebagai persediaan menghadapi cabaran pembangunan masa hadapan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, SOE, Prof. Madya Ts. Dr. Irwan Mahazir Ismail dan turut hadir memeriahkan program ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, SEFB, Dr. Edie Erman Che Johari.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Irwan Mahazir menegaskan bahawa usaha memelihara dan memulihara alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh setiap lapisan masyarakat.

Beliau turut menyatakan bahawa program seperti ini memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar serta menggalakkan penglibatan aktif dalam amalan kelestarian.

“Melalui program ini, pelajar didedahkan kepada kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem dan memahami bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kelestarian bumi terus terpelihara untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

“Kolaborasi antara FABS dan PENDIDIK ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam menyemai nilai-nilai kelestarian dan memperkukuhkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, peserta telah menyertai pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan alam sekitar, antaranya permainan kitar semula, explorace bertemakan kelestarian serta aktiviti penanaman pokok. Aktiviti-aktiviti tersebut bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang interaktif, malah berjaya memupuk semangat kerjasama, kreativiti dan rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Program ini turut menjadi platform yang berkesan dalam mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti sekolah menerusi perkongsian ilmu serta pelaksanaan aktiviti yang memberi impak positif kepada masyarakat. Inisiatif seumpama ini selaras dengan usaha menyokong agenda pembangunan mampan dan melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap kesejahteraan alam sekitar.

Majlis kemudiannya melabuhkan tirai dengan ucapan penutupan oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba, Zurayme Abu Bakar yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga dan kerjasama dalam menjayakan program tersebut.

Beliau berharap agar usaha seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan kesedaran dan tanggungjawab sosial terhadap pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

Kejayaan penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen berterusan SEFB dan SOE dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki kesedaran sosial dan tanggungjawab terhadap isu-isu kelestarian.

Kerjasama erat antara kedua-dua pusat pengajian melalui penglibatan aktif FABS dan PENDIDIK membuktikan bahawa pendekatan rentas disiplin mampu menghasilkan impak yang lebih menyeluruh kepada komuniti serta menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berjiwa masyarakat. – Nur Alisya Ahmad Tarmizi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button