SBM tingkat keupayaan warga akademik terbit artikel media berimpak
Gambar Wan Mohamad Kamil Wan Salim
SINTOK, 21 Jun 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menganjurkan Bengkel Panduan Menulis Artikel Dalam Akhbar: Tip Ringkas dan Berkesan bagi memperkukuhkan keupayaan warga akademik dalam menghasilkan penulisan media yang berkesan serta mampu menyampaikan ilmu kepada masyarakat secara lebih meluas.

Bengkel yang berlangsung di EDC-UUM itu menampilkan Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Prof. Dr. Ahmad Zubir Ibrahim sebagai penceramah yang berkongsi kepakaran berkaitan teknik dan strategi menghasilkan artikel akhbar yang menarik, ringkas serta mempunyai nilai berita.
Menerusi sesi perkongsian tersebut, peserta didedahkan kepada aspek penting dalam penulisan artikel media termasuk pemilihan tajuk yang berimpak, penyusunan fakta secara sistematik, penggunaan bahasa yang mudah difahami serta kaedah mengetengahkan hasil penyelidikan dan kepakaran akademik kepada khalayak umum.
Dr. Ahmad Zubir turut berkongsi panduan bagaimana penulisan akademik boleh diterjemahkan dalam bentuk artikel popular tanpa mengabaikan ketepatan fakta dan nilai ilmiah, sekali gus membantu meningkatkan keterlihatan kepakaran warga universiti dalam platform media.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), SBM, Prof. Madya Dr. Zuraida Hassan berkata, kemahiran berkomunikasi melalui penulisan media merupakan elemen penting dalam memastikan hasil penyelidikan dan kepakaran akademik universiti dapat dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Penyelidikan yang berkualiti bukan sahaja perlu diterbitkan dalam jurnal akademik, tetapi juga perlu dikongsikan dalam bentuk yang mudah difahami oleh masyarakat.
“Penulisan artikel akhbar merupakan salah satu medium yang berkesan untuk memperluaskan impak ilmu dan memperlihatkan sumbangan warga akademik kepada komuniti,” katanya.

Beliau turut berharap agar bengkel seumpama ini dapat membudayakan amalan perkongsian ilmu secara lebih kreatif dalam kalangan warga SBM, khususnya dalam mengetengahkan penyelidikan, inovasi dan kepakaran pensyarah melalui saluran komunikasi yang lebih terbuka.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen SBM dalam memperkasakan pembangunan profesional warga kerja melalui peningkatan kemahiran komunikasi strategik, di samping menyokong agenda UUM dalam memperluaskan impak ilmu kepada masyarakat. – Azam Arni Mohd Noor



