Education

Penyelidik UUM berjaya bangunkan Indeks H.E.M.A.T bersama JPA dan UPM, perkukuh peranan universiti sebagai pakar rujuk pengurusan awam negara

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Rozita Arshad, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zabidi, Prof. Madya Dr. Norlaila Abdullah Chik dan Dr. Sakinah Muslim

PUTRAJAYA, 21 Jun 2026: Keupayaan penyelidik-penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang pengurusan awam terus mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan apabila sekumpulan penyelidik universiti ini berjaya menyumbang kepada pembangunan Indeks H.E.M.A.T, sebuah instrumen pengukuran nilai penjawat awam Malaysia yang dibangunkan melalui kerjasama strategik bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hasil pembangunan Indeks H.E.M.A.T ini telah berjaya dibentangkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz pada 16 Jun lalu yang menyifatkan bahawa kejayaan pembangunan indeks H.E.M.A.T ini telah menjadi pelengkap kepada inisiatif beliau dalam memperkenalkan H.E.M.A.T yang bertujuan untuk memperkukuhkan sistem penilaian nilai dan budaya kerja penjawat awam di Malaysia.

Projek yang bermula pada 12 Februari itu diketuai oleh penyelidik daripada UPM dengan penglibatan aktif pasukan penyelidik UUM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Rozita Arshad serta ahli pasukan penyelidik lain iaitu Prof. Madya Dr. Norlaila Abdullah Chik, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zabidi, Dr. Sakinah Muslim dan Anis Izzatie Azman.

Dr. Rozita berkata, kejayaan pembangunan indeks ini telah membuktikan kepakaran UUM dalam bidang pengurusan awam, tadbir urus dan pembangunan organisasi terus menjadi rujukan utama dalam membantu kerajaan memperkukuhkan agenda reformasi sektor awam negara.

Indeks H.E.M.A.T dibangunkan sebagai instrumen saintifik bagi mengukur tahap penghayatan nilai dan budaya kerja dalam kalangan penjawat awam Malaysia melalui lima dimensi utama, iaitu H-Hijrah Tatakelola, E-Empati Rakyat, M-Minda Pekin, A-Apresiasi Inovasi dan T-Telus Tadbiran.

Melalui pengukuran yang sistematik, indeks ini berpotensi membantu agensi kerajaan mengenal pasti kekuatan dan ruang penambahbaikan dalam pembentukan budaya kerja yang lebih cekap, berintegriti dan berfokuskan rakyat.

Pembangunan indeks tersebut merupakan satu usaha penting dalam menyediakan mekanisme pengukuran berasaskan bukti (evidence-based) yang dapat membantu kerajaan menilai tahap penghayatan nilai dalam perkhidmatan awam secara lebih sistematik dan menyeluruh. Selain itu, indeks H.E.M.A.T ini bukan sekadar instrumen pengukuran sahaja, tetapi menjadi asas kepada usaha membentuk budaya kerja sektor awam yang lebih berintegriti, inovatif, berorientasikan rakyat dan responsif terhadap perubahan semasa.

Dari sudut dasar dan pelaksanaan, Indeks H.E.M.A.T mempunyai hubungan yang signifikan dengan pelbagai agenda transformasi sektor awam negara. Pada peringkat paling asas, H.E.M.A.T berperanan sebagai kerangka nilai yang membentuk budaya kerja dan tingkah laku penjawat awam. Nilai-nilai tersebut kemudiannya menyokong pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan, yang memberi penekanan kepada kecekapan, akauntabiliti dan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

Selain itu juga, indeks tersebut turut menyokong pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menekankan pembaharuan sistem penyampaian perkhidmatan, pengukuhan tadbir urus, peningkatan produktiviti dan pembangunan modal insan sektor awam. Pada masa yang sama, H.E.M.A.T dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam memperkukuh nilai integriti, ihsan, kemampanan, kesejahteraan dan keyakinan dalam kalangan penjawat awam sebagai pelaksana utama dasar-dasar kerajaan.

“Penglibatan UUM dalam projek berimpak tinggi ini turut mencerminkan komitmen universiti dalam menyumbang kepakaran kepada pembangunan negara melalui penyelidikan gunaan yang memberi manfaat langsung kepada sektor awam dan masyarakat,” katanya.

Pengarah Bahagian Reformasi Sektor Awam JPA, Syuhaida Abdul Wahab Zen berkata, komitmen yang ditunjukkan oleh penyelidik adalah sangat tinggi dan laporan disiapkan mengikut garis  masa yang ditetapkan.

Beliau menzahirkan setinggi penghargaan kepada pasukan penyelidik dan berharap akan ada lagi kolaborasi sebegini pada masa hadapan.

Kejayaan kumpulan penyelidik UUM dalam membangunkan Indeks H.E.M.A.T ini membuktikan keupayaan universiti sebagai rakan strategik kerajaan dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dalam menyokong agenda reformasi sektor awam, sekali gus memperkukuh kedudukan UUM sebagai pusat rujukan utama dalam bidang pengurusan awam, tadbir urus dan pembangunan dasar negara serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan modal insan sektor awam yang berprestasi tinggi, berintegriti dan berteraskan rakyat.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button