Q-INPIRE CAMP cetus transformasi mahasiswa berteraskan Al-Quran
Berita dan gambar oleh: Muhammad Syazwan Menon
KULIM, 20 Jun 2026: Seramai 45 peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program Q-INSPIRE CAMP: Inspired by Quran, Driven for Success (QI Camp) yang berlangsung selama tiga hari dua malam di KEDA Resort Sungai Seluang, Kulim bermula 18 hingga 20 Jun 2026.
Program anjuran Pusat Islam UUM dengan kerjasama Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM, Pusat Zakat dan Wakaf (PZW) UUM serta Kelab Rakan Siswa YADIM UUM ini bertujuan melahirkan mahasiswa yang mempunyai jati diri unggul berteraskan al-Quran, di samping membangunkan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan keusahawanan.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai slot pembangunan sahsiah dan kepimpinan antaranya “Inspired by Quran: Jati Diri Generasi Qurani” yang disampaikan oleh Ustazah Madihah binti Mohamed Ibrahim serta tazkirah-tazkirah kerohanian yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai Pusat Islam UUM.
Peserta turut mengikuti modul pembangunan diri dan kepimpinan seperti Leadership Challenge, Driven for Success, Explorace Qurani dan sesi Roadmap Hidupku Selepas Ini yang memberi penekanan kepada pembentukan matlamat hidup, kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah.

Program turut diserikan dengan sesi Malam Inspirasi bersama usahawan muda UUM, Saudara Luqman Hakim bin Zawawai yang berkongsi pengalaman membangunkan perniagaan sehingga berjaya menjadi pengasas Chatter Coffee dan Sepagi Kopitiam.
Selain pengisian ilmiah dan pembangunan diri, peserta turut menikmati suasana ukhuwah menerusi aktiviti santai termasuk kenduri durian kampung dan buah manggis yang menjadi antara tarikan unik program kali ini.
Menurut Pengarah Pusat Islam UUM, Haji Mohd Yusnaidi bin Md. Sabri, program Q-INSPIRE CAMP diwujudkan sebagai platform pembangunan mahasiswa yang menggabungkan elemen kerohanian, kepimpinan dan keusahawanan secara menyeluruh.

“Pusat Islam tidak mahu mahasiswa hanya berjaya dari sudut akademik semata-mata. Kita mahu melahirkan graduan yang mempunyai kekuatan akidah, sahsiah yang mantap, kemampuan memimpin serta keberanian mencipta peluang untuk masa depan mereka sendiri. Al-Quran perlu menjadi asas kepada setiap keputusan dan tindakan dalam kehidupan.” katanya.
Beliau berkata pendekatan program yang mengintegrasikan penghayatan al-Quran dengan kemahiran insaniah dan keusahawanan mampu membentuk mahasiswa yang lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

Beliau turut menzahirkan harapan agar QI Camp menjadi program pembangunan pelajar yang berterusan dan mampu melahirkan lebih ramai mahasiswa yang menjadi agen perubahan di kampus serta masyarakat.
“Hasrat Pusat Islam adalah untuk melihat peserta kembali ke kampus dengan semangat baharu, lebih dekat dengan al-Quran, lebih jelas hala tuju kehidupan serta mempunyai keyakinan untuk menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.”
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Bakti bin Hasan Basri, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM. Turut hadir ialah Pengarah Pusat Islam UUM, Pengarah Pusat Zakat dan Wakaf UUM serta pegawai-pegawai kanan universiti.

Timbalan Naib Canselor (HEP dan Alumni) UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri ketika merasmikan majlis penutup menyeru para peserta agar menjadikan pengalaman sepanjang program sebagai titik perubahan dalam kehidupan.
“Mahasiswa perlu sentiasa berani keluar daripada zon selesa. Ilmu yang diperoleh sepanjang program ini hendaklah diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pencapaian.
Jadilah mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi mempunyai nilai kepimpinan, integriti serta kemampuan menyumbang kepada masyarakat.” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar memperoleh ijazah, sebaliknya kejayaan membina karakter diri yang berteraskan nilai agama dan kemanusiaan.
“Jika al-Quran menjadi panduan hidup, insya-Allah saudara dan saudari akan mampu menghadapi apa jua cabaran serta menjadi pemimpin yang memberi manfaat kepada orang lain.”
Penganjuran QI Camp membuktikan komitmen berterusan UUM dalam melahirkan mahasiswa holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kekuatan spiritual, kepimpinan dan daya tahan diri untuk menghadapi cabaran masa hadapan berlandaskan nilai-nilai al-Quran.



