Education

UUM, MIPFM perkasa kebolehpasaran graduan melalui KPTiP Pengurusan Strata

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 21 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Malaysian Institute of Property and Facility Managers (MIPFM) terus memperkukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan modal insan negara apabila meraikan kejayaan 48 pelajar yang menamatkan Program Tauliah Industri dan Profesional Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTiP) dalam Pengurusan Strata menerusi Gala Dinner dan Majlis Penyampaian Sijil yang berlangsung di EDC-UUM, Jumaat lalu.

Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Pelesenan Modul Kursus Program KPTiP Pengurusan Strata di bawah Pelesenan Harta Intelek UUM bagi Modul Kursus Program KPTiP, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperluaskan akses kepada pendidikan profesional yang relevan dengan keperluan industri.

Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas inisiatif memperkenalkan Program Tauliah Industri dan Profesional (KPTiP) yang membuka peluang kepada pelajar meningkatkan kompetensi profesional.

Menurutnya, MIPFM sebagai rakan industri strategik juga yang sentiasa komited dalam memperkukuhkan hubungan universiti-industri dan menyediakan platform pembelajaran yang relevan dengan kehendak semasa industri, selain Pusat Pengajian Kerajaan (SOG) atas kejayaan dan inisiatif menganjurkan program yang sangat berimpak tinggi ini.

Katanya, Program KPTiP merupakan antara manifestasi jelas komitmen KPT dalam memperkukuhkan agenda Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang, selaras dengan aspirasi Pelan Pendidikan Tinggi Negara.

“Inisiatif seperti ini juga selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan modal insan berilmu, berintegriti dan mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat serta negara.

“Saya percaya Program KPTiP ini telah membantu memberi nilai tambah yang membezakan graduan yang sekadar memiliki kelayakan akademik dengan graduan yang benar-benar bersedia untuk memenuhi kehendak industri. Justeru, sijil profesional bukan lagi satu pilihan tambahan, tetapi menjadi satu keperluan dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.

Beliau berkata, program ini berjaya menarik penyertaan pelajar daripada pelbagai pusat pengajian dan latar belakang akademik, sekali gus membuktikan bahawa bidang Pengurusan Strata bukan sahaja relevan kepada disiplin tertentu, malah menawarkan nilai tambah dan peluang kerjaya yang merentas pelbagai bidang pengajian.

“Semoga pensijilan profesional yang diperoleh menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan, sekali gus melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden MIPFM, PMgr Sr. Ishak Ismail berkata, program berkenaan membuktikan bahawa kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan badan profesional mampu menghasilkan graduan yang lebih bersedia untuk memenuhi keperluan industri.

Menurutnya, dalam persekitaran pekerjaan yang semakin kompetitif, majikan bukan sahaja mencari graduan yang memiliki kecemerlangan akademik, tetapi juga mereka yang mempunyai kompetensi profesional dan pendedahan kepada industri sebenar.

Katanya, Program Tauliah Industri dan Profesional KPTiP dalam Pengurusan Strata ini telah berjaya menghubungkan kedua-dua elemen ini.

“Pensijilan profesional yang diterima oleh para peserta merupakan satu kelebihan kompetitif yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan serta membuka lebih banyak peluang kerjaya dalam sektor hartanah strata, pengurusan dan fasiliti.

“MIPFM percaya pembangunan kompetensi profesional sejak di bangku universiti akan memberi impak besar kepada masa depan graduan,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen MIPFM untuk terus memperluaskan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di seluruh negara bagi menyediakan lebih banyak peluang pensijilan profesional, latihan industri dan pembangunan kerjaya kepada pelajar.

Hadir sama, Dekan SOG, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf serta pegawai-pegawai kanan UUM dan MIPFM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button