UTLC bantu jayakan Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2026 Peringkat Negeri Kedah
Berita dan gambar Mahamad Nabawi Mohammad Saad
SINTOK, 21 Jun 2026: Seramai 250 pelajar daripada 53 buah sekolah menengah di seluruh negeri Kedah telah menyertai sesi saringan Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2026 Peringkat Negeri Kedah yang dilaksanakan secara dalam talian Khamis lalu.

Pertandingan berprestij ini dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) serta Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program Kerjasama Komuniti tahunan ini disokong penuh daripada Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Universiti (UTLC) menerusi pemanfaatan platform pembelajaran terbuka Sintok.uum.edu.my serta sokongan teknikal dan pengurusan sistem pertandingan.
Pengerusi PSMCK, Ts. Syamsyul Anuar Che Mey menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen serta sokongan yang diberikan.
Menurutnya, sinergi antara UTLC, SLCP, JPNK, dan PSMCK ini mencerminkan usaha berterusan institusi dalam memperkukuhkan hubungan komuniti melalui agenda pendidikan sejarah dan pembinaan negara bangsa.

Berdasarkan keputusan saringan, empat buah sekolah telah berjaya melayakkan diri ke Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Akhir Negeri Kedah Tahun 2026 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aman Jaya, SMK Tengku Sarafudin Badlishah, SMK Parit Panjang dan SMK Agama Baling
Dalam pertandingan tersebut, Nurul Farisya Harun dari SMK Agama Jerlun telah muncul sebagai Peserta Terbaik Peringkat Saringan selepas mencatatkan markah tertinggi dalam kalangan 250 peserta yang mengambil bahagian dari seluruh negeri Kedah.
Peringkat akhir pertandingan dijadualkan berlangsung secara bersemuka pada 25 Julai depan bertempat di SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar.



