Education

ARTPATH FUTURES lonjak nama UUM di pentas antarabangsa: Raih emas di INNOCARE 2026

Berita dan gambar Dr. Azizah Abdullah

TANJUNG MALIM, 22 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju inovasi pendidikan, kesejahteraan komuniti dan pembangunan modal insan di peringkat global apabila berjaya merangkul Anugerah Emas dalam 2nd International Counselling and Wellness Innovation Competition (INNOCARE 2026) yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Pertandingan berprestij bertaraf antarabangsa ini menghimpunkan ratusan penyertaan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara, pelbagai kementerian, agensi kerajaan, pihak industri, serta organisasi profesional termasuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Projek yang merupakan revolusi Kaunseling Kerjaya Kontemporari ini dicapai menerusi projek ARTPATH FUTURES: A Creative Arts Navigation System for Dual Career Pathways and Youth Wellness, inovasi berimpak tinggi yang merupakan modul digital holistik gabungan bidang Kaunseling Kerjaya, Expressive Arts Therapy (Terapi Seni Ekspresif), Neuro-sains, Psikologi, Pendidikan TVET, dan pembangunan belia dalam satu ekosistem yang komprehensif.

Ketua Projek, Dr. Azizah Abdullah berkata, ARTPATH FUTURES dibangunkan secara khusus bagi menangani cabaran kritikal belia abad ke-21, terutamanya isu kekeliruan identiti diri, tekanan emosi, serta dilema dalam memilih laluan masa depan antara akademik dan kemahiran.

Menurutnya, ramai pelajar berdepan kesukaran membuat keputusan kerana kurang memahami potensi diri mereka, justeru ARTPATH FUTURES hadir sebagai solusi digital untuk membantu mereka meneroka identiti, minat, nilai, bakat, kebolehan, dan kesediaan emosi sebelum melangkah ke alam kerjaya.

Pembangunan inovasi ini turut diperkukuhkan lagi melalui kepakaran latihan profesional Dr. Azizah dalam bidang Neuro-sains di Edge Hill University, United Kingdom, serta penglibatan aktif beliau dalam Career Talks Series Alumni UK British Council yang memperkayakan perspektif global reka bentuk modul ini.

Keunikan ARTPATH FUTURES terletak pada jaringan strategik antara akademik dan industri di mana Dr. Azizah menerajui projek ini bersama Dr. Ezany Nizariff selaku rakan strategik industri daripada ENA ACADEMIA. Penglibatan Dr. Ezany sebagai aktor yang berpengalaman luas dalam berbagai lapisan masyarakat, perniagaan  jaringan komuniti dan industri, menjadi nilai tambah yang signifikan kepada projek ini.

Bagi memastikan inovasi ini bersifat futuristik dan berpusatkan pengguna, aspek pendigitalan aplikasi telah dibangunkan oleh Zahin Ammar, seorang bakat muda tempatan yang kini bersedia untuk program ‘Dual Training’ ke Jerman.

Beliau memiliki portfolio antarabangsa melalui pengalaman luas bekerjasama dengan pelbagai syarikat global terkemuka dari Australia, Amerika Syarikat (USA), United Kingdom (UK), dan Belgium dalam pembangunan teknologi digital, AI dan aplikasi pengguna. Sentuhan kepakaran teknologi beliau merentas sempadan ini menjadikan platform ARTPATH FUTURES sangat interaktif, fleksibel, dan mudah diakses oleh golongan muda tanpa batasan geografi.

Inovasi ini turut menarik perhatian panel juri kerana selari dengan aspirasi TVET MADANI yang menekankan kebolehpasaran graduan, pembelajaran sepanjang hayat, dan kesejahteraan rakyat. Lebih membanggakan, kepakaran pasukan penyelidik UUM dalam bidang Expressive Arts Therapy ini telah mendapat perhatian di peringkat global.

Sebelum ini, Dr. Azizah telah mewakili Malaysia melalui penglibatan bersama Global Forum Panel yang berkolaborasi dengan World Health Organization (WHO), pakar dari United Kingdom, USA dan Australia, serta menerima sokongan daripada rangkaian profesional yang berkait rapat dengan agenda UNESCO.

ARTPATH FUTURES yang didaftarkan sebagai Harta Intelek (IP) melalui Innovation and Commercialisation Centre (ICC) UUM mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan dalam bentuk platform digital, latihan profesional, serta program pembangunan belia berimpak tinggi. Selain itu, pasukan ini juga sedang menyiapkan penulisan buku yang membandingkan model pembangunan TVET rentas benua sebagai rujukan kepada pelbagai kumpulan sasaran.

Kecemerlangan UUM di pentas INNOCARE 2026 disempurnakan lagi dengan pencapaian dua Anugerah Gangsa yang diraih oleh pelajar Doktor Falsafah (PhD) dari negara China, di Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) di bawah penyeliaan Dr. Azizah sendiri iaitu Zhi Ying yang menerima pengiktirafan menerusi projek Museum Well-being Lab: An Art-Based Therapeutic Program for Public Mental Health dan Han Jing yang memenangi anugerah melalui projek Whisper Pages: A Floating Expressive Journal for School-Based Psychoeducation and Preventive Mental Health Support.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang yang dalam ucapannya menegaskan bahawa inovasi berteraskan kesihatan mental, digital, dan pembangunan komuniti adalah pemangkin utama dalam memperkukuh daya tahan masyarakat serta kemajuan negara.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button