Malam gembira SQS dinner 2026: Apresiasi buat pelajar tahun akhir SQS UUM
Berita dan gambar oleh: Mohd Saiful Adli Mohamad
SINTOK, 16 Jun 2026: Majlis Perwakilan Siswa (MPP) Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) telah berjaya menganjurkan majlis makan malam SQS Dinner 2026 bertempat di Hotel EDC, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada malam Selasa.
Majlis yang berlangsung penuh gilang-gemilang ini diadakan khusus bagi meraikan para pelajar tahun akhir SQS yang bakal menjalani latihan industri pada semester hadapan.

Acara ini telah dihadiri oleh seramai 85 orang peserta yang terdiri daripada barisan pelajar, staf SQS, serta ahli keluarga. Turut menyerikan majlis ialah Dekan SQS, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, serta barisan penjawat SQS.
Dalam ucapan perasmiannya, Dekan SQS merakamkan ucapan tahniah kepada MPP SQS dan seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen tinggi dalam menjayakan majlis makan malam ini. Beliau turut menitipkan ucapan selamat maju jaya kepada semua pelajar tahun akhir yang akan melangkah ke fasa praktikum tidak lama lagi.

“Apabila bergraduat kelak, jangan lupa untuk kembali menyumbang bakti kepada SQS sebagai alumni,” ujar beliau.
Selain itu, beliau turut membuka ruang dan menggalakkan para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah di SQS melalui program yang ditawarkan iaitu Master of Science (Operations Research and Analytics) dan Master of Science (Data Analysis).
Sementara itu, wakil MPP SQS, Isaac Yang Hao Tung, dalam ucapannya menzahirkan segunung terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan serta seluruh barisan pensyarah SQS. Menurut beliau, segala ilmu, bimbingan, dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh pengajian di SQS akan sentiasa dihargai dan menjadi bekal berharga buat mereka di dunia luar.

Suasana malam tersebut bertambah ceria dengan pengisian slot hiburan dan penghargaan. Para tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian solo yang memukau daripada wakil pelajar, Amir Khuzairi Hasbullah, serta penampilan istimewa daripada wakil pensyarah, Dr. Nur Syahirah Ibrahim.
Antara pengisian slot lain yang memeriahkan majlis termasuklah cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik, penyampaian anugerah kepada pelajar yang cemerlang serta banyak menyumbang bakti kepada SQS, dan juga anugerah ‘King & Queen of the Night’ yang menjadi penutup tirai acara yang penuh dengan keceriaan.
Majlis makan malam ini tamat pada jam 10.30 malam. Pihak penganjur mengharapkan agar majlis seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi mengekalkan hubungan akrab dan harmoni antara warga SQS.



