SOL perkukuh kesediaan pelajar hadapi Pelaksanaan Pentaksiran Baharu
Gambar Ahmad Termizi Othman
SINTOK, 23 Jun 2026: Satu sesi Townhall Komponen Pentaksiran Program Sarjana Muda telah diadakan di Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 5/5 bagi memberi penerangan kepada pelajar mengenai pelaksanaan komponen pentaksiran yang baharu selaras dengan keperluan standard program yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Sesi townhall tersebut melibatkan pelajar daripada dua program di bawah Pusat Pengajian Undang-undang iaitu Sarjana Muda Undang-undang (LL.B) dan Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan (BPLB).

Taklimat telah disampaikan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Nor Anita Abdullah yang menjelaskan rasional, asas perundangan, kaedah pelaksanaan serta implikasi perubahan pentaksiran kepada pelajar.
Dalam sesi tersebut, pelajar dimaklumkan bahawa perubahan kepada kaedah pentaksiran ini bukanlah satu keputusan yang dibuat di peringkat universiti semata-mata, sebaliknya merupakan keperluan yang telah digariskan dalam pelbagai dokumen jaminan kualiti pendidikan tinggi negara termasuk Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679), Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) serta standard program yang diterbitkan oleh MQA bagi bidang pengajian berkaitan.
Menurutnya, standard program bagi bidang Undang-undang dan Syariah yang diterbitkan oleh MQA sejak tahun 2015 telah menetapkan keperluan agar pencapaian pelajar dinilai secara berasingan melalui komponen Pentaksiran Berterusan dan Pentaksiran Akhir.
Pendekatan ini bertujuan memastikan hasil pembelajaran program dapat diukur secara lebih menyeluruh, telus dan berintegriti selaras dengan amalan terbaik pendidikan tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Justeru, universiti perlu memastikan pelaksanaan yang lebih menyeluruh bagi memenuhi keperluan akreditasi dan jaminan kualiti program akademik.

Dari sudut tadbir urus universiti, pelaksanaan ini telah melalui penelitian dan perbincangan yang menyeluruh di peringkat Senat Universiti. Cadangan pindaan pentaksiran kursus berdasarkan standard program telah dibentangkan dan dibincangkan dalam beberapa mesyuarat Senat sebelum mendapat kelulusan.
Antara perkara utama yang ditekankan dalam sesi townhall ini ialah keperluan pelajar untuk lulus kedua-dua komponen pentaksiran, iaitu Pentaksiran Berterusan (kerja kursus) dan Pentaksiran Akhir (peperiksaan akhir atau pentaksiran alternatif). Pelajar akan dianggap gagal kursus sekiranya gagal dalam mana-mana komponen walaupun jumlah markah keseluruhan melepasi markah lulus yang ditetapkan.
Sesi tersebut turut membuka ruang kepada pelajar untuk mengemukakan pertanyaan dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan dasar baharu ini yang akan berkuat kuasa mulai Semester Pertama Sesi 2026/2027 (A261).
Penganjuran townhall ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap perubahan dasar pentaksiran yang dilaksanakan, di samping memastikan mereka lebih bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keperluan akademik yang selaras dengan standard kualiti pendidikan tinggi negara. – Dr. Muhammad Nazrul Abd Rani



