Kolaborasi UUM dan SEARCCT perkasa kesedaran pencegahan ekstremisme
Gambar Mohd Khairil Hazree Hairudin
SINTOK, 23 Jun 2026: Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) dengan kerjasama Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program Technology & Innovation in Building & Enhancing Resilience (TIBER) yang berlangsung di Auditorium SoIS, UUM Sintok, baru-baru ini.
Dalam era digital yang semakin kompleks, golongan belia terdedah kepada pelbagai bentuk pengaruh termasuk naratif ekstremisme ganas (Violent Extremism – VE) yang disebarkan melalui platform dalam talian dan luar talian.

Usaha Preventing and Countering Violent Extremism (PCVE) atau pencegahan ekstremisme ganas perlu diperkukuhkan melalui pendekatan pendidikan, pemikiran kritis, dan penghasilan naratif alternatif yang relevan dengan konteks semasa.
Program yang menghimpunkan pelajar dan warga universiti ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu ekstremisme ganas serta memperkukuhkan daya tahan masyarakat melalui pendekatan teknologi, inovasi dan pendidikan. Program turut menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman daripada pakar-pakar dalam bidang pencegahan ekstremisme serta pembinaan naratif yang positif.
Dalam ucapan alu-aluan Penolong Naib Canselor UUM COB yang mewakili Naib Canselor, Prof. Dr. Selamah Maamor menekankan kepentingan peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan generasi yang berfikiran kritis, berdaya tahan dan mampu berdepan cabaran global yang semakin kompleks.
Majlis telah diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah SEARCCT, Datin Nur Ashikin Mohd Taib.
Menurutnya, penglibatan belia merupakan elemen penting dalam usaha mencegah penyebaran fahaman ekstremisme.

Beliau turut menggalakkan generasi muda untuk memanfaatkan teknologi dan media secara bertanggungjawab bagi membina masyarakat yang lebih aman, inklusif dan berdaya tahan.
Program diteruskan dengan forum bertajuk Peranan Belia dan Pencegahan Ekstremisme Ganas yang menampilkan panel terdiri daripada Asrul Daniel Ahmed dari SEARCCT dan Thomas K. Samuel.
Perbincangan memberi fokus kepada cabaran yang dihadapi golongan belia serta peranan mereka sebagai ejen perubahan dalam mencegah pengaruh ideologi ekstremis.
Pada sesi kedua forum bertajuk Naratif dan Naratif Balas, peserta berpeluang mengikuti perkongsian oleh Zan Azlee dan Dr. Miza Rashid yang membincangkan kepentingan pembinaan naratif alternatif dan naratif balas dalam menangani penyebaran maklumat yang boleh mendorong kepada radikalisasi. Sesi ini turut menekankan penggunaan media dan platform digital secara strategik untuk menyebarkan mesej keamanan dan keharmonian.

Penganjuran program TIBER diharapkan dapat meningkatkan kefahaman peserta terhadap isu keselamatan bukan tradisional serta memperkukuhkan keupayaan mereka dalam membina daya tahan diri dan komuniti.
Melalui kolaborasi antara UUM dan SEARCCT, program ini menjadi satu inisiatif penting dalam melahirkan generasi belia yang lebih peka, berinformasi dan bersedia memainkan peranan aktif dalam memelihara keamanan serta kestabilan negara.
Program yang berlangsung selama empat hari ini juga turut disertai oleh 13 pelajar yang terpilih mengikuti Bengkel Pembinaan Keupayaan dimana pelajar telah diberi pendedahan khusus dalam memahami PCVE dan membangun idea penyelesaian melalui media mengikut kreativiti masing-masing melalui bimbingan pakar dalam bidang berkaitan. – Nor Hidayah Ishak



